Ahad, 8 Oktober 2017 | 10:05pm
SKUAD Hoki negara bergambar bersama Pegawai tertinggi MHC sebelum berangkat ke Dhaka, Bangsa bagi kejohanan Hoki Piala ASIA. - Foto Osman Adnan

Malaysia Tigers sasar final di Dhaka

SEPANG: Kapten skuad hoki negara Muhammad Sukri Abdul Mutalib menegaskan Malaysian Tigers bukan berkunjung ke Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 22 Oktober ini, sebagai syarat hanya untuk menyertai kejohanan itu saja.

Sebaliknya tegas pemain pertahanan berusia 31 tahun itu, setiap pemain negara perlu berada pada tahap permainan tertinggi sekali gus meneruskan reputasi selaku pasukan pilihan pada kejohanan kali ini.

Selepas cemerlang layak ke Piala Dunia 2018 menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, Sukri tidak mahu reputasi skuad negara tercalar begitu saja.

"Sebagai pemain kami perlu keluarkan segala-galanya apabila turun beraksi nanti. Kami hadir ke Dhaka dengan objektif yang sudah ditetapkan iaitu untuk cuba mara ke final.


PEMAIN Hoki negara menyiapkan bagasi sebelum mendaftar untuk berlepas di KLIA untuk berangkat ke Dhaka, Bangsa bagi kejohanan Hoki Piala ASIA. - Foto Osman Adnan

"Setiap pemain perlu bermain demi maruah negara kerana kita sudah pun layak beraksi di Piala Dunia pada tahun depan," katanya ketika ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum skuad negara berlepas ke Dhaka, hari ini.

Berbeza berbanding edisi sebelum ini, Malaysia tampil ke Dhaka dengan reputasi selaku pasukan kedua terbaik selepas India dan turun tanpa sebarang tekanan kerana sudah pun layak ke Piala Dunia 2018.

Namun ketua jurulatih Stephen Van Huizen dilihat serius menghadapi kejohanan ini apabila membariskan pemain terbaik dengan sasaran utama adalah untuk mara ke pentas final.

Di Dhaka, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China dan Oman.

402 dibaca
Berita Harian X