Jumaat, 6 Oktober 2017 | 5:42pm
PELUMBA dari pasukan Team Sapura Cycling (TSC), Wilmar Jahir Perez Munoz (tengah) berjaya menduduki tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh pelumba dari pasukan CCN Cycling Team (CCN), Samuel Volkers (kiri) dan tempat ketiga dimenangi oleh pelumba dari pasukan TSC, Victor Nino Corredor (kanan) pada peringkat keempat Jelajah Malaysia 2017 yang meliputi perjalanan sejauh 101.3 km yang bermula dari Kulim ke Gunung Jerai. - Foto Amran Hamid

TSC takluk puncak Jerai, kekal gelaran Raja Bukit

GURUN: Team Sapura Cycling (TSC) mendominasi pendakian puncak tertinggi di Gunung Jerai dalam perlumbaan Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), namun gagal merampas jersi kuning yang menjadi rebutan utama selaku pendahulu individu keseluruhan.

Dua pelumba TSC dari Columbia mempamerkan kayuhan cemerlang apabila Wilmar Jahir Perez Munoz pertama melintasi garisan penamat pada ketinggian 1217 meter (status hors) dengan masa dua jam 50 minit 41 saat.

Sandaran utama TSC, Victor Nino Corredor di tempat ketiga (2.52:31s), manakala Samuel Volkers dari CCC Cycling Team di tangga kedua dengan masa 2.51:22s.

Keputusan itu menyaksikan kedudukan Perez Munoz tidak lagi mampu dicabar bagi gelaran Raja Bukit apabila mengumpul 29 mata.

Dia hanya perlu menamatkan peringkat terakhir esok sejauh 132.8km yang bermula dan berakhir di Alor Setar bagi mengesahkan kemenangan.

Bagaimanapun ia masih belum untuk cukup merampas jersi kuning dari pelumba Oliver's Real Food Racing, Brendon Davids yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat dengan kelebihan 24 saat berbanding Nino Corredor apabila mengumpul masa 13.26:09s.

"Objektif adalah untuk menang peringkat keempat dan merampas jersi pendahulu, namun Davids amat kuat dan berusaha keras pada peringkat ini. Dia layak menerima pujian.

"Kami sudah mencuba namun tidak berjaya. Bagaimanapun saya gembira apabila kami menang peringkat pendakian tertinggi dan meraih jersi Raja Bukit selain kekal dalam landasan tepat memenangi beberapa jersi dan kategori lain," jelas Pengarah Sukan TSC, Sergi Oscar Escobar Roure.

Mereka kini dalam landasan tepat muncul pasukan terbaik dalam kalangan 18 pasukan bertanding apabila mengumpul masa 40.19:26s, selain Muhammad Zawawi Azman mendahului kategori pelumba terbaik Malaysia.

Manakala Davids yang kekal menyarung jersi kuning gembira apabila masih mampu bertahan dan berada di landasan tepat untuk memenangi gelaran individu pertamanya bagi perlumbaan yang berada dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Ini satu kejutan apabila saya masih mengekalkan jersi ini," kata pelumba dari Afrika Selatan itu.

"Pujian kepada rakan sepasukan yang bekerja keras untuk membolehkan saya berada dalam keadaan bertenaga bagi memulakan pendakian sejauh 10 kilometer ke garisan penamat," katanya.

282 dibaca
Berita Harian X