;
Rabu, 4 Oktober 2017 | 11:20pm
PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman (kanan) mengangkat tangan selepas menduduki tempat pertama dalam saingan peringkat kedua perlumbaan basikal JM2017 di Pekan Kuala Kurau. - Foto Danial Saad

JM2017: Adiq Husainie tamatkan penantian lapan tahun

KUALA KURAU (Kerian): Kejayaan menjuarai perlumbaan peringkat kedua Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) memberi seribu makna kepada pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman.

Ia adalah kemenangan peringkat pertama bagi dirinya selepas lapan kali menyertai perlumbaan berstatus 2.2 sejak edisi 2009.

Malah kali terakhir pelumba berusia 26 tahun itu memenangi peringkat perlumbaan adalah di Tour of Brunei pada 2011.

"Saya turut bergelut dengan kecederaan lutut kanan sejak awal tahun apabila terlepas untuk menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Februari.

"Selepas pulang dari perlumbaan di China baru-baru ini untuk menyertai JM2017, saya turut mengalami kesakitan yang sama.


ADIQ Husainie Othman (tengah) memecut laju menewaskan pelumba Thailand Continental Cycling, Ariya Phounsavath (kiri) dan pelumba PDRM-G Cycling, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti untuk menduduki tempat pertama dalam saingan peringkat kedua perlumbaan basikal JM2017 di Pekan Kuala Kurau. - Foto Danial Saad

"Saya amat dahagakan kejayaan. Kemenangan ini membuktikan saya bukan pelumba yang sudah 'tenggelam' dengan pengalaman yang dimiliki.

"Saya mahukan keputusan yang baik dalam baki peringkat perlumbaan selain Tour of Selangor (penghujung Oktober) dan Tour of Malaysia (November) selepas ini," jelas pemenang kategori pelumba terbaik Asia di LTdL 2016 itu.

TSG kini meraih dua kemenangan peringkat selepas kejayaan Nur Amirull Fakharuddin Mazuki muncul juara peringkat pertama semalam.

Pada saingan peringkat kedua hari ini, Adiq Husainie mengungguli saingan dari Lumut ke Kuala Kurau sejauh 145.3km dengan masa tiga jam 17 minit 12 saat diikuti pelumba Thailand Continental Team (TCC), Ariya Phounsavant manalaka Mohd Fauzan Ahmad Lutfi dari PDRM ketiga.


PELUMBA TSG, Adiq Husainie Othman (tengah) ceria bersama pelumba Thailand Continental Cycling, Ariya Phounsavath (kiri) dan pelumba PDRM-G Cycling, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti pada saingan peringkat kedua perlumbaan basikal JM2017 di Pekan Kuala Kurau. - Foto Danial Saad

"Seramai 15 pelumba termasuk saya meninggalkan kelompok besar ketika saingan memasuki 50 kilometer.

"Saya kekal dalam kumpulan berkenaan sehingga kami bertiga (bersama Fauzan dan Ariya) melakukan pecutan meninggalkan kelompok 15 pelumba ketika berbaki dua kilometer dan akhirnya muncul yang pertama melintasi garisan penamat," katanya.

Sementara itu, Nur Amirull mengekalkan jersi kategori pecut (Raja Pecut) dengan 26 mata.

"Saya akan cuba mengekalkan jersi namun pada masa yang sama kami akan cuba memburu kemenangan peringkat ketiga esok," katanya.

Pendahulu keseluruhan (jersi kuning) menjadi milik Ryan Thomas dari pasukan Oliver's Real Food Racing dengan mengumpul masa 7.09:55s.

440 dibaca
Berita Harian X