Rabu, 13 September 2017 | 9:47pm
ATLET renang para negara, James Wong ketika menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil menjelang Sukan Para ASEAN nanti. - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Skuad renang mampu raih 10 emas

KUALA LUMPUR: Skuad renang para negara yakin mampu meraih minimum 10 pingat emas menjelang Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para 2017) yang akan membuka tirainya secara rasmi, Ahad ini.

Pengurus skuad renang negara, Loke Chee Heng, berkata berdasarkan persiapan atlet bagi menghadapi temasya itu, dia percaya sasaran itu mampu dicapai sekali gus melepasi pencapaian dua tahun lalu di Singapura yang menyaksikan Malaysia membawa pulang tujuh emas.

"Saya percaya dengan kemampuan atlet negara dan berdasarkan persiapan yang dilakukan, kita boleh mencapai sasaran itu. Dua tahun lalu kita meraih tujuh emas, jadi kali ini sudah pasti kita perlu raih lebih daripada itu.

"Kita beraksi di negara kita sendiri dan dengan sokongan rakyat Malaysia, ia pasti akan membangkitkan semangat atlet renang negara untuk melakukan yang terbaik," katanya.


PENGURUS skuad renang negara, Loke Chee Heng (dua kiri) bersama jurulatih renang, Li Xin Xin (dua kanan) serta atlet renang para negara, Jamery Siga (kanan) dan Fraidden Dawam yakin mampu meraih minimum 10 pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para 2017). - Foto Luqman Hakim Zubir

Chee Heng, berkata sebagai persiapan menghadapi Para KL2017, beberapa atlet dihantar bagi menyertai Kejohanan Renang Terbuka Portugal Jun lalu dan mereka menunjukkan peningkatan yang cukup positif.

"Kita mengambil bahagian hanya untuk melakukan catatan masa dan bukan untuk meraih pingat. Jika kita dapat membawa pulang pingat, sekurang-kurangnya sembilan emas kita berjaya raih.

"Namun, kita hanya mahu melakukan catatan masa dan atlet menunjukkan peningkatan yang sangat positif sepanjang aksi di kejohanan itu," katanya.

Perenang negara, Anas Zul Amirul Sidi menjadi sandaran skuad renang dengan dia diletakkan sandaran untuk meraih tiga emas menerusi acara 50, 100 dan 200 meter gaya bebas.

"Ini adalah penampilan pertama Anas untuk Sukan Para ASEAN. Dia baru saja menyertai kita iaitu sejak hujung 2015 namun menunjukkan peningkatan yang ketara, dia memang sandaran kita kali ini," kata Chee Heng.

110 dibaca
Berita Harian X