Rabu, 13 September 2017 | 9:36pm
PERENANG negara, Khoo Cai Lin berdepan kecederaan belakang dan baru sahaja menjalani pembedahan pada awal Mei lalu, kini sedang menjalani proses pemulihan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Cai Lin bersara daripada sukan renang

KUALA LUMPUR: Perenang negara yang pernah dua kali bersaing di Sukan Olimpik, Khoo Cai Lin memutuskan untuk bersara daripada sukan renang.

Atlet berusia 29 tahun itu berdepan kecederaan belakang dan baru sahaja menjalani pembedahan pada awal Mei lalu, kini sedang menjalani proses pemulihan.

"Saya sudah dapat semua hasil daripada apa yang saya lakukan. Saya fikir sudah tiba masa untuk bergerak ke fasa seterusnya dalam hidup saya.

"Pada masa ini, saya bekerja untuk Dentsu Sports Asia sebagai eksekutif pemasaran sukan. Saya sudah mewakili negara lebih 14 tahun.

"Oleh kerana saya seorang perenang jarak jauh, sukar untuk membuat kemunculan semula selepas pembedahan.

"Ia seperti mimpi menjadi kenyataan apabila dapat mewakili negara di setiap peringkat pertandingan, bertemu pesaing dan kawan, memenangi pelbagai pingat, serta memecahkan beberapa rekod," katanya hari ini.


KETUA jurulatih renang Malaysia, Paul Birmingham (kanan) bersama Khoo Cai Lin selepas memenangi acara 400 meter gaya bebas perempuan pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-59 di Pusat Akuatik Darul Ehsan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mengulas mengenai sama ada dia akan memilih untuk bersaing dalam pertandingan peringkat tempatan, Cai Lin berkata ia bergantung kepada sejauh mana kesan pemulihannya.

"Saya masih perlu menjalani dua bulan proses pemulihan. Saya akan melihat bagaimana ia berjalan.

"Saya memaklumkan kepada jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berkenaan keputusan saya untuk bersara semalam. Mereka berharap saya berjaya," katanya.

Berita Harian X