Rabu, 13 September 2017 | 7:55pm
SKUAD Para bola keranjang negara bertekad untuk menghadiahkan pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017). - Foto Osman Adnan

Para KL2017: Malaysia tekad tumbangkan Thailand untuk raih emas

KUALA LUMPUR: Selepas lima kali berada pada kedudukan kedua di belakang Thailand, skuad bola keranjang kerusi roda negara bertekad untuk menebus kekecewaan itu dengan menghadiahkan pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang akan membuka tirainya Ahad ini.

Pengurus pasukan, Chee Chen Soon berkata sejak temasya dwitahunan itu di Korat pada 2007, Malaysia hanya memperoleh pingat perak selepas tewas di tangan Thailand pada lima kali aksi final.

"Kita tahu sebenarnya mereka (Thailand) juga takutkan dengan persediaan negara pada kali ini kerana mereka lebih berahsia seperti tidak menunjukkan persiapan mereka.

"Contoh, sebelum ini kita boleh tengok aksi mereka bermain dalam YouTube, tetapi tidak sekarang. Jadi kita juga terpaksa merahsiakan persiapan kita juga," katanya selepas sidang media Kita Juara Para ASEAN 2017 di sini hari ini.

Chen Soon berkata, skuad bola keranjang negara yang dibimbing Lim Ming Lip dan juga jurulatih Iran, Abbas Aghakouchaki tidak pernah menewaskan negara jiran itu dengan pencapaian terbaik pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon apabila negara tewas kepada Thailand dengan perbezaan empat mata sahaja.

"Bagi saya, yang penting adalah persiapan skuad negara dahulu. Saya tak mahu memikirkan tentang pasukan lawan," katanya.


SKUAD Para bola keranjang negara ketika sesi latihan di Mitec menjelang Sukan Para Asean 2017. - Foto Osman Adnan

Mengenai sasaran pada temasya kali ini, Chen Soon berkata mereka meletakkan sasaran sekurang-kurangnya memenangi satu pingat emas daripada dua emas yang dipertandingkan.

"Pada awalnya kita mengharapkan acara tiga lawan tiga mampu menghadiahkan emas, namun selepas mengatur strategi kami merasakan pemain lima lawan lima dilihat berpotensi memberi emas," katanya

Bola keranjang kerusi roda akan mempertandingkan dua acara - lima lawan lima dan tiga lawan tiga lelaki dengan acara ini akan memulakan saingan pada Isnin ini sehinggalah pusingan akhir pada Jumaat depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

136 dibaca
Berita Harian X