Rabu, 13 September 2017 | 7:37pm

Para KL2017: Filipina mahu pastikan raih lebih pingat emas

SEPANG: Kontinjen Filipina mahu memastikan mereka mendapat lebih banyak pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), berbanding atlet senegara yang bertanding dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu.

Kontinjen yang terdiri daripada 111 atlet yang menyertai sukan diwtahunan untuk atlet paralimpik serantau itu menyasarkan 27 pingat emas, lebih tiga pingat daripada yang dimenangi atlet senegara dalam KL2017, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Kontinjennya, Dennis Esta, berkata sandaran utama pingat bagi atlet paralimpk Filipina ialah olahraga dan catur dengan sasaran masing-masing tujuh emas, selain daripada powerlifting, boling tenpin dan ping pong.

"Di Singapura dua tahun lalu, kami mengakhiri kejohanan di tempat ketujuh dengan 16 emas, tetapi kali ini kami mahukan aksi yang lebih baik kerana kerajaan memberikan sokongan latihan sepanjang tempoh setahun.

"Saya kira kami mampu mencapainya kerana kami mempunyai lebih banyak atlet dan menyertai lebih banyak jenis sukan, 12 daripada 16 yang dipertandingkan," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Pada Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura, Kontinjen Filipina yang terdiri daripada 64 atlet membawa pulang 16 emas, 17 perak dan 26 gangsa.

Sementara itu, pembawa bendera Minandro Ridor akan mempertahan empat emas dalam acara catur, standard perseorangan, rapid perseorangan, standard berpasukan dan rapid berpasukan untuk kategori mereka yang separuh buta.

"Dengan persiapan lebih baik kali ini selepas menyertai Terbuka Bangkok dan dua lagi pertandingan di Malaysia, saya berharap saya akan mempertahankan pingat saya," katanya. - BERNAMA

87 dibaca
Berita Harian X