Rabu, 13 September 2017 | 1:36am
PELUMBA pasukan Sky, Chris Froome (tengah) akan bertanding dalam acara ujian masa berpasukan dan individu di kejohanan dunia. - Foto AFP
CHRIS Froome ceria selepas menamatkan peringkat akhir Vuelta a Espana minggu lalu. - Foto REUTERS

Froome sertai ujian masa di kejohanan dunia

LONDON: Juara Tour de France empat kali, Chris Froome akan meneruskan prestasi cemerlangnya selepas menjuarai Vuelta a Espana minggu lalu dengan bertanding dalam acara ujian masa berpasukan dan individu di kejohanan dunia yang bermula di Norway, hujung minggu ini.

Ketua jurulatih British Cycling, Iain Dyer dalam satu kenyataan hari ini berkat, pelumba 32 tahun itu akan mengisi satu daripada dua slot acara ujian masa individu.

Dyer menambah, dia menjangkakan laluan sepanjang 31 kilometer di Bergen, dengan satu zon pendakian sepanjang 3.4km di Gunung Floyen, akan menguji kekuatan kayuhan peserta.

Froome berkata selepas muncul pelumba Britain pertama menjuarai Vuelta minggu lalu, dan pelumba ketiga dalam sejarah melengkapkan gelaran juara Tour-Vuelta pada tahun yang sama, dia menyasarkan persembahan baik dalam kedua-dua acara itu, bermula ujian masa berpasukan pada Ahad, diikuti ujian masa individu pada Rabu.

Froome yang mengesahkan tidak akan menyertai acara lebuh raya di Bergen, adalah pemenang pingat gangsa acara ujian masa di Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Mark Cavendish, juara dunia lebuh raya 2011 yang mengalami kecederaan patah bahu ketika Tour de France pada Julai lalu, dan Geraint Thomas, juga mengalami kecederaan di Tour, tidak bertanding selepas menarik diri daripada pemilihan.

Namun Lizzie Deignan, juara dunia 2015, akan memperkuatkan skuad lebuh raya wanita selepas selamat menjalani pembedahan apendiks bulan lalu.

"Ada beberapa nama besar yang digugurkan," kata Dyer.

"Kita mula tiba di penghujung musim perlumbaan bagi pelumba lebuh raya dan kecederaan serta kelesuan membuatkan mereka menarik diri daripada pemilihan." - REUTERS

127 dibaca
Berita Harian X