Selasa, 12 September 2017 | 7:50pm
PENAUNG Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah (kanan) bersama mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua kanan) meletakkan obor sambil diperhatikan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin (tiga kiri) dan Chief De Mission Kontinjen Para Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Subramaniam Raman (kiri) pada Majlis Penyerahan Obor Kontinjen Para Malaysia ke Sukan Para Asean 2017 di Kem Fasa Akhir Para Asean di Hotel Seri Pacific. - Foto Luqman Hakim Zubir

Para KL2017: Kontinjen negara bersemangat capai 103 emas

KUALA LUMPUR: Berbaki empat hari menjelang temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), semangat atlet kontinjen negara semakin membara untuk menyahut cabaran melepasi sasaran 103 pingat emas.

Bagi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin, mereka akan mencuba sedaya-upaya merealisasikan harapan itu selepas kejayaan kontinjen negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu.

"Atlet berada dalam keadaan bersemangat selepas kejayaan Sukan SEA. Ini adalah masa kita dan beraksi di tempat sendiri. Bagi saya, tekanan tidak ada, semuanya berada dalam keadaan positif," katanya.

Keyakinan yang sama turut dilaungkan pemenang gangsa lontar peluru Sukan SEA, Mohd Ziyad Zolkefli yang melihat impian berkenaan tidak mustahil untuk dilaksanakan.


SEBAHAGIAN atlet Para Asean negara bersemangat pada Majlis Penyerahan Obor Kontinjen Para Malaysia ke Sukan Para Asean 2017 di Kem Fasa Akhir Para Asean di Hotel Seri Pacific. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Saya sangat yakin dengan kerja keras dan usaha rakan sepasukan, tidak mustahil kita mampu mengatasi sasaran dengan syarat sokongan perlu diberikan terutamanya di stadium seperti Sukan SEA.

"Kami tetap akan memburu sasaran 103, namun jika mendapat sokongan seperti atlet normal, tidak mustahil pencapaian lebih baik juga mampu diraih," jelasnya.

Hari ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menyampaikan amanat kepada atlet negara, mencabar mereka akan sedaya upaya melepasi sasaran 103 emas yang ditetapkan selain muncul juara keseluruhan.

Kontinjen Sukan SEA negara pada bulan lalu sudah membuktikan kemampuan apabila meraih 145 emas, mengatasi 111 emas yang menjadi sasaran.

Bagi Olaragawan Negara 2016, Abdul Latif Romly, fasa akhir kem latihan pusat yang dijalankan sudah cukup membakar semangat mereka memburu kejayaan untuk negara.

"Saya yakin kami juga mampu melepasi sasaran. Kami umpama keluarga yang besar, saling memberi dorongan untuk meraih kejayaan bermula hujung minggu nanti," katanya.

Sukan Para KL2017 akan membuka tirai pada Ahad ini dengan Malaysia menghantar 331 atlet menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan.

174 dibaca
Berita Harian X