Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:47pm
ATLET sukan luncur air, Aiden Yoong (tengah) menjalani latihan bersama ibunya, Norzeela Sulaiman (kanan) di Marina Putrajaya. - Foto Adi Safri

Aiden, Adam kongsi harapan

PUTRAJAYA: Pasangan adik beradik, Aiden dan Adam Yoong Hanifah bersedia menggegar Kompleks Sukan Air Marina Putrajaya dengan percikan emas apabila kedua-duanya berazam mencipta kejutan dalam sukan luncur air.

Aiden, 12, yang meraih gangsa pada edisi lalu di Singapura berkata, hasil latihan tujuh bulan serta pendedahan pertandingan di peringkat antarabangsa banyak membantu memperbaiki aksinya.

"Saya dan adik (Adam) sudah berlatih lama semata-mata untuk menghadapi Sukan SEA di tempat sendiri ini.

"Menerusi latihan intensif dan tunjuk ajar yang kami terima, banyak kelemahan berjaya dikesan dan kami sudah tidak sabar mengibar cabaran negara nanti.

"Saya harap dapat meraih emas sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa dua tahun lalu," katanya yang akan bersaing dalam acara kegemarannya tricks lelaki bersama adiknya, Adam.

Sementara itu, Adam mengakui Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang juga temasya kedua disertainya ini pasti berbeza kerana bakal beraksi di depan penyokong sendiri yang mampu memberi motivasi tambahan buat dirinya.

Menurut peluncur berusia 10 tahun itu, pencabar utama yang mampu meranapkan impiannya untuk menggenggam emas sudah pastinya hadir daripada abangnya sendiri.

"Terus terang saya katakan, langsung tak ada perasaan takut atau gementar sebaliknya saya sudah tak sabar nak beraksi.

"Cuma kalau tanya siapa pencabar terkuat saya nanti, sudah tentunya datang daripada abang saya sendiri kerana dia tahu segala kelebihan dan kelemahan saya," katanya.

Sukan luncur air dan wakeboard yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 29 Ogos ini menawarkan 11 emas dengan Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan dua emas.

Berita Harian X