Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:12pm
SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menerima obor dari wakil atlet berbasikal, Mamat Khalid Nasiruddin (kanan) pada majlis pra pelancaran Kejohanan Endurance Sukan Sea-29 Kuala Lumpur 2017 di Stadium Mini Stadium Kompleks Sukan Gong Badak, semalam. - Foto Ghazali Kori

Pemilihan Terengganu venue endurance satu pengiktirafan: MB

KUALA NERUS: Pemilihan Terengganu sebagai venue acara Equestrian Endurance atau kuda lasak dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah satu pengiktirafan terhadap negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemilihan itu bakal melakar lagi cerita kejayaan buat Terengganu di samping kejayaan anak jati negeri ini dalam bidang sukan, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Siapa yang tidak kenal juara dunia kita, Mohd Azizulhasni bin Awang atau dikenali ramai sebagai 'The Pocket Rocketman'.

"Azizulhasni, Fatihah Mustaffa, Mohd Adiq Husainie Othman, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh, semuanya jaguh kelahiran Terengganu dalam sukan lumba basikal.

"Dalam temasya Sukan SEA kali ini, saya juga dimaklumkan bahawa seramai 73 atlet anok (anak) jati Negeri Teganu (Terengganu) kita telah dipilih mewakili negara.

"Kita juga bertuah kerana dengan limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Negeri Terengganu telah dipilih untuk venue Sukan Endurance. Syabas dan tahniah saya ucapkan," katanya pada majlis pra pelancaran acara Endurance KL2017, di Mini Stadium, Gong Badak, di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran acara itu.

Turut berangkat permaisuri baginda, Sultanah Nur Zahirah dan tiga anakanda baginda berdua iaitu Tengku Nadirah Zahara, Tengku Muhammad Muaaz dan Tengku Fatimatuz Zahara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat turut hadir.

Sementara itu, Rozi ketika ditemui pemberita berkata beliau berharap dua sasaran emas bagi acara endurance dapat dicapai oleh atlet negara berdasarkan persediaan rapi yang dilakukan.

"Kita sasar dua pingat emas daripada sukan endurance... saya (menaruh) harapan kepada atlet-atlet endurance Terengganu ini yang terbaik setakat ini, Insya-Allah," katanya.

Seramai lima daripada enam atlet acara endurance adalah anak jati Terengganu iaitu Muhammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah, Mohd Bulkhari Rozali, Mohd Adhwa Embong dan Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari. - BERNAMA

458 dibaca
Berita Harian X