Ahad, 13 Ogos 2017 | 11:57am
KEVIN Kisner. - Foto EPA/Tannen Maury

Kisner dahului hari ketiga golf Kejohanan PGA

CHARLOTTE (Carolina Utara): Kevin Kisner terselamat daripada penamat hambar apabila mendahului dengan satu pukulan ke atas Hideki Matsuyama dan Chris Stroud pada pusingan ketiga Kejohanan PGA ke-99 yang menyajikan pertarungan penuh berliku di sini, hari ini.

Pada hari yang menyaksikan pemain Australia, Jason Day melakukan quadruple-bogey pada lubang terakhir, Kisner melakukan satu atas 72 di lapangan Quail Hollow meskipun beraksi dalam cuaca hujan dan berangin.

Kisner pada awalnya tidak mampu melakukan hayunan tepat sehinggalah dia melakukan double-bogey di lubang ke-16 dan bogey pada lubang terakhir untuk menjadikan jumlah keseluruhan kepada tujuh bawah 206, mendahului satu pukulan daripada rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Stroud (71) dan Matsuyama dari Jepun (73).

Pemain Amerika, Justin Thomas dan Afrika Selatan, Louis Oosthuizen ketinggalan dua di belakang sebelum memasuki pusingan terakhir major tahun ini.

Di kawasan green yang beralun, beberapa lokasi lubang jelas amat sukar apabila tidak ada sesiapapun di senarai pendahulu melakukan catatan lebih baik daripada 68 seperti dilakukan Graham DeLaet dari Kanada, yang melakukan enam bawah.

Kisner jelas tidak berpuashati dengan melepaskan banyak peluang untuk menyingkirkan lebih ramai seterunya. Dia juga menyukarkan lagi keadaan terutamanya di par empat lubang ke-16.

"Saya mempunyai peluang untuk menjarakkan diri daripada pesaing dan menyingkirkan mereka daripada kejohanan di lima atau empat (atau) enam sebelum itu tetapi saya tidak mampu melakukannya.

"Sekarang, saya terpaksa berdepan rintangan lebih sengit esok dan perlu bersedia untuk mengharunginya," kata pemain di ranking ke-25 dunia itu.

"Saya tidak melakukan putt seperti yang dilakukan pada dua hari pertama saingan dan hanya menyaksikan keputusan teruk di sana. Ia seperti mudah sehinggalah kamu menghayun satu daripada di dalam air dan kemudian ia tampak sukar kembali." - Reuters

Berita Harian X