Sabtu, 12 Ogos 2017 | 8:49pm
MENTERI Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin menerima obor dari Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar (dua kanan) diperhatikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (kanan) pada Larian Obor KL 2017 di Kompleks Sukan Bukit Jalil. - Foto Saifullizan Tamadi

Obor temasya tiba di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) semakin terasa apabila obor temasya akhirnya tiba ke venue utama, KL Sports City yang akan menjadi nadi utama penganjuran temasya edisi ke-29, sebentar tadi.

Lebih 200 peserta menghangatkan larian yang bermula di stesen MRT Taman Midah - dibawa oleh Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dengan diiringi kakitangan Telekom Malaysia (TM) serta lebih 200 penyokong Team Malaysia.

Istimewanya - larian obor terakhir yang mendapat liputan meluas itu turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membawa obor memasuki stadium.

Petang tadi, Stadium Nasional turut dibanjiri orang ramai yang mahu melihat secara dekat obor temasya selepas menjelajah ke seluruh negara sebelum ini.

Hampir separuh daripada mereka memakai kemeja T Team Malaysia (belang Harimau Malaya) bagi menunjukkan sokongan padu kepada acara Larian Obor serta tanda pembakar semangat buat atlet negara yang akan mengambil bahagian di temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Hadir sama menyertai larian terakhir itu adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat KL2017; Datuk Seri Zolkeples Embong dan Pengurus Besar TM, Kamaludin Mohsin.

Larian obor terakhir itu bermula seawal 6.30 pagi tadi menyusuri Jalan Permaisuri, Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak, Jalan Persiaran Mewah, Stadium Hoki Bukit Jalil sebelum dibawa masuk ke Stadium Hoki Bukit Jalil dan diserahkan kepada Khairy untuk dibawa masuk ke stadium utama.

Berita Harian X