Ahad, 16 Julai 2017 | 10:02pm

PM ucap tahniah kepada Latif Romly

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly memperbaiki rekod lompat jauh yang diciptanya sendiri pada tahun 2015 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, hari ini.

Menerusi akaun rasmi Twitternya @NajibRazak, Perdana Menteri berkata "Tahniah Latif Romly pecah rekod kejohanan acara lompat jauh di #London2017, menang Emas! #TerbangLatifTerbang #Kebanggaanku #Negaraku.

Olahragawan Negara 2016 itu mengatasi rekod lamanya di Doha 2015, 7.35 meter (m) dengan lompatan sejauh 7.37m bagi meraih pingat emas yang pastinya menjadi tonik berharga sebelum menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Rekod dunia masih menjadi milik Abdul Latif yang turut diciptanya ketika menjuarai temasya Paralimpik Rio, September tahun lalu.

Pingat perak dimenangi atlet Croatia, Zoran Talic dengan catatan 7.32m manakala Dmytro Prudnikov dari Ukraine meraih gangsa, 7.12m.

334 dibaca
Berita Harian X