Ahad, 16 Julai 2017 | 9:49pm

Hee Ying pertahan kejuaraan di RSGC


PEMAIN golf negara, Loy Hee Ying. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Loy Hee Ying mempertahankan kejuaraan golf Terbuka Amatur Wanita Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), sekali gus muncul selaku pemain kedua yang berjaya mengekalkan kejuaraan sejak kejohanan mula dianjurkan pada 1977.

Pemain yang mewakili Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor itu mencatat lima bawah par 68 pada hari terakhir untuk keseluruhan 11 bawah par, 208 (par 73) bagi memenangi Trofi Tuanku Bahiyah.

Tempat kedua menjadi milik Vanessa Bouvet dari The Empire Hotel Club (Brunei) yang cemerlang pada hari pertama tetapi gagal mengekalkan rentak pada hari kedua dan ketiga apabila melakukan catatan 73 dan 76 untuk catatan keseluruhan satu bawah par, 218.

Nur Durriyah Damian yang mewakili Persatuan Golf Wanita Amatur Malaysia (MALGA), menduduki tempat ketiga apabila mencatat jumlah keseluruhan dua atas par 221 - selepas mencatat pusingan 72, 74 dan 75.

Pencapaian Hee Ying mempertahankan gelaran itu menyamai rekod dilakukan Lim Ai Lian yang muncul juara pada tahun 1997 dan 1998.

"Amat berbangga kerana mampu mempertahankan gelaran di sini. Green sangat baik," kata Hee Ying kepada media.

"Saya juga amat berpuas hati kerana berjaya mencatat catatan peribadi keseluruhan terbaik dan sudah tentunya lapangan di sini amat hebat sekali."

73 dibaca
Berita Harian X