Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:59am
DERYCK Shaw

Skandal seks - Presiden NZL letak jawatan

WELLINGTON: Presiden Bolasepak New Zealand (NZL), Deryck Shaw melepaskan jawatannya berkuat kuasa hari ini, susulan skandal gangguan seksual yang menimpa skuad wanita kebangsaannya.

Shaw yang sebelum ini sudah membuat permohonan maaf pada Jumaat lalu berikutan kegagalan badan induk itu menangani tuduhan ke atas bekas pengendali skuad wanita, Andreas Heraf berkata, keputusan itu dibuat ‘demi kebaikan sukan’.

“Saya fikir ini masanya paling sesuai untuk saya meletak jawatan sebagai presiden, untuk membolehkan bola sepak negara ini terus maju ke depan,” katanya.

“Ia adalah keputusan saya sebagai pemimpin kepada badan induk ini dan ia adalah perkara yang betul dilakukan saya.”

Jawatankuasa bebas pada minggu lalu mengesahkan NZF gagal menangani isu gangguan seksual oleh Heraf walaupun menerima banyak rungutan mengenai jurulatih dari Austria itu.

Heraf melepaskan jawatannya pada Julai lalu, hanya beberapa minggu selepas 13 pemain pasukan wanita New Zealand mendedahkan tidak lagi mahu bermain dibawah bimbingannya kerana gangguan berkenaan.

Ketua eksekutif NZF, Andy Martin kemudian mempertahankan Heraf dengan berkata, beliau terkejut untuk menerima surat rungutan daripada pemain.

Martin turut mengundur diri selepas insiden itu dan kembali ke negara asalnya, Britain. – AFP

 

436 dibaca
Berita Harian X