Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:23am
KYLIAN Mbappe. - Foto Reuters

Mbappe selamatkan maruah Perancis

GUINGAMP, Perancis: Kylian Mbappe menjadi pencetus kebangkitan buat juara dunia, Perancis yang bangkit daripada ketinggalan dua gol, untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Iceland, awal pagi tadi.

Birkir Bjarnason meletakkan Iceland di depan apabila meledak gol pada minit ke-30, dan tandukan menarik Kari Arnason pada babak kedua (minit ke-58) membolehkan pasukan lawan itu mendahului Perancis di Guingamp.

Namun, Mbappe yang dibawa masuk pada setengah jam terakhir memberi nafas kepada Perancis apabila percubaannya ditepis dan terkena pertahanan Iceland, Holmar Orn Eyjolfsson sebelum bola menerjah gawang pada minit ke-86.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu kemudian menyamakan kedudukan apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90, selepas bola terkena tangan Kolbeinn Sigthorsson.


AKSI Paul Pogba ketika Perancis ketinggalan dua gol, untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Iceland, awal pagi tadi. - Foto Reutrers

“Cukup jelas, pasukan ini kelihatan seperti memerlukan sesuatu yang berlainan. Saya cuba melakukan apa yang boleh saya lakukan,” kata Mbappe.

“Ramai penyokong yang berada di belakang kami, biarpun ia bukan stadium yang besar. Kami mahu melakukan apa yang boleh untuk mereka (penyokong) yang berada di sana.

“Akhirnya, kami berjaya mengikat perlawanan dengan keputusan seri, kami tidak tewas tetapi ia sedikit mengecewakan."

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyenaraikan enam pemain perlawanan akhir Piala Dunia menentang Croatia dengan menurunkan pemain sayap, Florian Thauvin dalam kesebelasan utama dan meletakkan Mbappe di bangku simpanan.

Iceland tewas 2-5 kepada Perancis ketika suku akhir Euro 2016, dan jurulatih baharu mereka, Erik Hamren turut berdepan dengan kekalahan besar dalam dua perlawanan awal Liga Negara-Negara. -AFP

1141 dibaca
Berita Harian X