Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:43pm
Michael Ballack.

Ballack terkejut Loew terus bimbing Jerman

BERLIN: Michael Ballack percaya jurulatih Jerman Joachim Loew sepatutnya sudah dipecat selepas persembahan buruk pasukannya di Piala Dunia Russia.

Ballack, 42, kapten skuad 'die Mannschaft' antara tahun 2004-2010, adalah individu berpengaruh dalam bola sepak Jerman yang pertama menyatakan bahawa Loew, jurulatih yang membimbing Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 sepatutnya dipecat selepas pasukannya menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan di Russia.

Pertemuan dengan Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara di Amsterdam esok bakal menjadi perlawanan antarabangsa Loew ke-168 bersama Jerman sejak mengendalikan pasukan pada 2006 namun Ballack menegaskan, khidmat selama 12 tahun jurulatih itu sepatutnya sudah berakhir.

"Saya terkejut, sama seperti orang lain juga apabila beliau masih kekal menggalas jawatan itu," kata Ballack yang membuat 98 penampilan untuk Jerman kepada Deutsche Welle.

"Untuk tempoh yang lama, beliau mengendalikan pasukan dan tiba-tiba anda memberitahu perancangan tidak menjadi," tambah Ballack mengenai tempoh 12 tahun Loew bersama Jerman.

Pada Mei lalu, Loew menandatangani kontrak lanjutan dengan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sehingga Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun Ballack percaya Loew seharusnya bertindak profesional untuk bertanggungjawab atas kempen buruk di Russia.

Bekas pemain tengah Chelsea dan Bayern Munich itu menyatakan bahawa Loew seharusnya memberi kepercayaan kepada pemain muda daripada terus bergantung kepada pemain senior.

"Ia bukan perkara di luar kebiasaan apabila seseorang jurulatih yang memenangi Piala Dunia memberi kepercayaan penuh kepada pemain yang mencapai kejayaan bersamanya," kata Ballack.

"Tapi itulah sukarnya kerana beliau perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan, beliau perlu profesional." - AFP

835 dibaca
Berita Harian X