Sabtu, 15 September 2018 | 7:25am
EDINSON Cavani (tiga dari kanan) bersama rakan sepasukan merai kemenangan selepas perlawanan PSG menentang AS Saint Etienne awal pagi tadi. - Foto AFP

PSG raih kemenangan kelima Ligue 1

PARIS: Kylian Mbappe dan Neymar hanya menyaksikan permainan dari bangku penonton tatkala Paris Saint-Germain bersiap sedia untuk kunjungan Liga Juara-Juara ke Liverpool dengan meraih kemenangan 4-0 ke atas Saint-Etienne dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Julian Draxler, Edinson Cavani, Angel di Maria dan pemain muda Moussa Diaby, masing-masing menemui jaringan di Parc des Princes bagi membantu PSG meraih kemenangan kelima daripada lima perlawanan awal musim ini dalam pemburuan mempertahankan gelaran liga Perancis.

Ia satu kemenangan selesa buat PSG - pasukan yang sudah meledak 17 goal dalam liga musim ini - dan Thomas Tuchel muncul selaku jurulatih pertama meraih lima kemenangan liga pertamanya dalam pengendalian di kelab itu.

“Kami meraih kemenangan lima kali dan ini menunjukkan kami mahu terus mencatat kemenangan,” kata Tuchel.


EDINSON Cavani selepas menjaringkan gol. - Foto AFP

Namun, masih ada sedikit keraguan yang akan dihadapi PSG apabila mereka bakal mengharungi ujian lebih getir di Anfield dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

“Saya juga gembira kami bermain tanpa memikirkan permainan yang akan ditempuhi Selasa ini,” kata jurulatih PSG dari Jerman itu.

“Saya mempunyai idea (dalam barisan pemainnya) tapi saya masih memikirkan mereka. Saya akan berbincang dengan pemain tonggak dan menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Tottenham esok (hari ini) dan membuat keputusan Isnin ini.”

Mbappe tidak disenaraikan kerana dia digantung tiga perlawanan susulan kad merah yang diterimanya ketika mengatasi Nimes.

Neymar dalam pada itu berada di sebelah Mbappe di bangku penonton apabila direhatkan selepas mewakili Brazil dalam satu aksi perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat, minggu lalu. - AFP

520 dibaca
Berita Harian X