Sabtu, 15 September 2018 | 7:19am
PACO Alcacer selepas menjaringkan gol ketika Borussia Dortmund menjinakkan Eintracht Frankfurt 3-1, awal pagi tadi. - Foto EPA

Alcacer memukau aksi sulung

BERLIN: Penyerang pinjaman dari Barcelona, Paco Alcacer menyumbat gol dalam penampilan sulungnya untuk membolehkan pasukan baharunya Borussia Dortmund menjinakkan Eintracht Frankfurt 3-1, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 24 tahun itu masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan selesa selepas gol daripada Abdou Diallo dan Marius Wolf melonjakkan Dortmund ke persada Bundesliga dengan tujuh mata.


PACO Alcacer bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika Borussia Dortmund menjinakkan Eintracht Frankfurt 3-1, awal pagi tadi. - Foto EPA

Namun kedudukan itu mungkin kekal sementara tatkala Bayern Munich, Wolfsburg dan Hertha Berlin sekadar ketinggalan satu mata di belakang dan hanya akan beraksi malam ini.

Jaringan sagu hati Eintracht hadir pada minit ke-68 menerusi percubaan voli Sebastian Haller.

Sementara itu, Robert Lewandowski akan meraikan penampilan ke-200 dengan peledak berbisa Poland itu dijangka meneruskan rentak jaringan apabila Bayern menerima kunjungan Bayer Leverkusen, malam ini.

RB Leipzig yang sekadar memungut satu mata daripada dua perlawanan pertama akan menerima kunjungan Hanover. – AFP

756 dibaca
Berita Harian X