Jumaat, 14 September 2018 | 10:21pm
Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri (kanan) dan John Terry.

Sarri buka pintu untuk Terry bantu Chelsea

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri bersedia membuka pintu untuk bekas kapten pasukan, John Terry kembali ke Stamford Bridge bagi menyertai staf kejurulatihan.

Terry meninggalkan Stamford Bridge pada Jun 2017 - selepas 22 tahun menabur bakti dan menyarung jersi Aston Villa, sebelum membuat keputusan menolak tawaran Spartak Moscow, pada minggu ini.

Sarri percaya, Terry, 37, masih mahu beraksi untuk musim akan datang, dan menegaskan beliau sentiasa mengalu-alukan jika dia mahu kembali ke Chelsea.

“Kali terakhir saya berbual denganya, dia mengatakan mahu beraksi lagi pada musim seterusnya,” kata Sarri.

“Sudah pasti dia sentiasa menjadi rujukan saya, rujukan semua orang di sini. Semua terpulang kepadanya.

“Jika dia mahu beraksi untuk musim akan datang, saya rasa dia patut mencubanya. Jika dia mahu membantu kami, saya sangat, sangat gembira,”

Menjelang aksi menentang Cardiff di Stamford Bridge, esok, skuad bimbingan Sarri kekal di kelompok teratas Liga Perdana Inggeris hasil empat kemenangan buat pengendali dari Itali selepas mengemudi empat perlawanan pertama bersama Chelsea.

Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka belum layak digelar pencabar utama berbanding skuad juara, Manchester City atau pendahulu liga, Liverpool selepas menamatkan kedudukan di tangga kesembilan pada musim lalu.

“Setakat ini, saya boleh katakan City atau Liverpool,” tambah Sarri ketika ditanya pasukan mana yang dianggap pilihan utama mencabar kejuaraan liga.

“Saya rasa, kami perlukan langkah seterusnya, untuk menjadi setaraf. Mungkin ya. (Tetapi) Saya harap tidak. Ia memang sukar. Ada 30 mata penentu jurang pada permulaan musim,” - AFP

565 dibaca
Berita Harian X