Khamis, 17 Mei 2018 | 8:35pm
SAM ALLARDYCE

Allardyce terkejut dipecat

LONDON: Sam Allardyce mendakwa terkejut sebaik mendapat khabar pemecatannya oleh Everton tetapi pada masa sama, beliau mengaku perkara berkenaan pasti akan berlaku satu hari nanti.

Pengendali berusia 63 tahun itu dipecat tidak sampai enam bulan selepas membimbing kelab Goodison Park berkenaan dan keputusan itu dibuat sejurus beliau bertemu dengan pemegang saham terbesar, Farhad Moshiri, semalam.

Bekas pengendali England itu dibawa masuk sebagai pengganti Ronald Koeman, November lalu tetapi corak permainan yang diamalkannya tidak begitu digemari penyokong kelab Merseyside dan ia pasti menjadi kecaman.

Bagaimanapun, Allardyce tidak gembira apabila isu pemecatannya lebih awal dihidu media sedangkan beliau sendiri belum menerima pengesahan rasmi.

"Saya terkejut bagaimana ia boleh berlaku. Ia seolah-olah media sudah tahu bahawa saya akan dipecat sebelum saya bertemu Farhad," katanya kepada stesen radio talkSPORT.

"Pada pendapat saya, perkara ini mungkin sudah dibincangkan sejak beberapa hari lalu. Ia sekali gus membuatkan anda tidak pasti dengan kedudukan sendiri.

"Ia agak mengejutkan. Siapa yang terbabit, saya tidak boleh dedahkan tetapi ia sepatutnya menjadi rahsia yang tidak boleh diketahui oleh umum."

Allardyce yang pernah membimbing Bolton, Newcastle, Sunderland dan Crystal Palace, bergelar jurulatih England pada 2016 tetapi dipaksa meletakkan jawatan hanya selepas satu perlawanan.

Bekas pengurus Watford dan Hull City, Marco Silva muncul calon pilihan bagi menggantikan tempat Allardyce. - AFP

538 dibaca
Berita Harian X