Selasa, 17 April 2018 | 6:07pm
PEMAIN Kelantan, S Veenod sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan baru-baru ini. - Foto Fathil Asri

Veenod, KAFA masih berunding

KUALA LUMPUR: Konflik antara S Veenod dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berhubung isu pengguguran pemain itu belum selesai apabila kedua-dua pihak masih berusaha mencari kata sepakat serta jalan penyelesaian terbaik.

Menurut Veenod, rundingan bersama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilyas Khan baru-baru ini berjalan dalam suasana harmoni dan dijangka dapat diputuskan tidak lama lagi.

"Buat masa ini saya tidak boleh memberi sebarang komen panjang, cuma apa yang boleh diberitahu, saya sudah mengadakan perbincangan dengan Kak Bibi sebaik saja beliau pulang dari China, baru-baru ini.

"Kami berbincang dari hati ke hati dan secara jujur. Saya sudah menyatakan pandangan saya, begitu juga beliau. Ia berjalan dalam suasana harmoni serta positif.

"Setakat ini belum ada keputusan mengenai kedudukan saya. Kami masih dalam peringkat perbincangan untuk mencari kata sepakat. Saya berharap kami akan menemui jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini," ujar Veenod.

Pemain itu yang menyertai Kelantan awal musim ini juga berharap isu itu dapat diselesaikan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka pada pertengahan bulan depan bagi membolehkan dia merancang hala tuju kariernya.

Veenod antara pemain yang digugurkan oleh ketua jurulatih baru The Red Warriors, Fajer Ebrahim dalam satu rombakan besar-besaran.

Selain Veenod, turut menerima nasib sama adalah pemain import Bruno Lopes (Brazil) dan Ferdinand Sinaga (Indonesia) serta pemain tempatan Norfarhan Muhammad, Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin Sayuti, Sukri Hamid, Shafiq Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Keputusan tanpa surat hitam putih itu mencetuskan rasa tidak puas hati Veenod yang bercadang mengambil tindakan ke atas KAFA jika ia tidak diselesaikan secara profesional.

Namun, dalam kenyataan balas, Bibi menganggap tindakan Veenod membuat kenyataan itu sebagai terburu-buru serta berjanji akan menyelesaikannya selepas pulang dari China minggu lalu.

1878 dibaca
Berita Harian X