Selasa, 17 April 2018 | 12:17pm
PEMAIN TFC II, Junhyeob Lee (kiri) mengekang JDT II, Che Rashid Che Halim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto ROZAINAH ZAKARIA

Leka punca JDT II tumbang di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDTII), Benjamin Mora tidak mahu menyalahkan kesilapan individu selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Terengganu FC II (TFCII) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Katanya, tuan rumah memperoleh dua gol mudah dalam saingan Liga Perdana itu selepas pemainnya sendiri menghadiahkan gol pembukaan, disusuli jaringan kemenangan TFCII menerusi situasi set-piece.

"Selepas gawang kami bolos hasil jaringan sendiri, pemain saya tidak berputus asa apabila bangkit dan bekerja keras hingga berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

"Bagaimanapun, kelekaan pemain sekali lagi dihukum pemain tuan rumah dalam situasi set-piece menerusi sepakan sudut sekali gus memaksa kami pulang tanpa sebarang mata," katanya selepas perlawanan berkenaan.

Pada aksi itu, TFCII memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri pertahanan kiri, Muhammad Fazly Mazlan yang tertampan bola hantaran lintang pemain sayap, Mohammad Rahmat Makasuf selepas gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadli pada minit ke-23.

Begitupun, penyerang kebangsaan bawah 23 tahun, Muhammad Hadifayyadh Abdul Razak mengikat kedudukan pada minit ke-68 sebelum pemain pertahanan, Muhammad Radhi Mohd Yusof menanduk kemenangan berpunca sepakan sepakan sudut minit minit ke-76.

Mengulas lanjut, pengendali berusia 38 tahun itu mempertahankan persembahan yang dipamerkan penjaga gol mudanya, Muhammad Haziq Nadli dalam perlawanan itu.

Katanya, penjaga gol kebangsaan itu sebenarnya jarang beraksi membuatkan prestasinya tidak konsisten dan perlu lebih kerap bermain.

"Saya yakin dengan kemampuan Muhammad Haziq mengawal benteng terakhir pasukan, malah pemain ini juga mampu menjadi penjaga gol terbaik di negara ini," katanya.

1147 dibaca
Berita Harian X