Selasa, 17 April 2018 | 7:31am
PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho gugur beberapa pemain utama apabila berkunjung ke Bournemouth. - Foto AFP

Mourinho gugur pemain bintang jumpa Bournemouth

LONDON: Jose Mourinho berikrar menggugurkan beberapa bintang Manchester United akibat kekalahan mengejut kepada West Bromwich Albion pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu.

United tewas 0-1 di laman sendiri menentang lawan yang berada di kedudukan tercorot liga itu pada Ahad lalu, menerusi jaringan Jay Rodriguez bagi memastikan kemenangan pertama kelab berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Persembahan buruk itu memberikan hadiah besar buat seteru tetangga mereka, Manchester City kejuaraan EPL yang sekali gus turut membuatkan Mourinho bengang.

Dia menuduh pemainnya terlalu berpuas hati selepas kemenangan menundukkan City pada dua minggu lalu.

Kini Mourinho bakal memilih barisan baharu bagi perlawanan ke Bournemouth dan separuh akhir Piala FA menentang Tottenham Hotspur di Wembley pada Sabtu ini.

"Penggiliran adalah perkataan yang tidak tepat," kata Mourinho.

"Jika saya memilih seorang pemain itu dalam perlawanan menentang Bournemouth dan pemain itu adalah luar biasa, dia akan bermain untuk ke separuh akhir juga.

"Jadi tidak ada penggiliran kerana penggiliran akan memberi pemain menentang Bournemouth dan memberi rehat kepada pemain lain yang tidak bermain dan akan bermain menentang Spurs di separuh akhir.

"Jadi, perkara sebenar bukanlah penggiliran. Ini adalah mengenai memberi peluang kepada mereka.

"Bagi mereka yang mahu bermain dan cuba untuk mendapat tempat bagi pasukan menentang Spurs dan beberapa pemain (yang diturunkan menentang West Brom), mereka tidak mempunyai tempat dalam pasukan,".

Ditanya jika dia tidak akan menggunakan pemain yang tidak beraksi baik ketika menentang West Brom bermakna mereka tidak akan diturunkan menentang Tottenham, Mourinho berkata: "Ya".

"Kriteria apa yang diperlukan seorang pengurus untuk memilih sebuah pasukan? Saya hanya tahu satu kriteria: cara anda bermain adalah satu-satunya cara untuk saya memilih pemain." - AFP

 

 

3011 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »