Isnin, 16 April 2018 | 11:45pm
AGUERO gembira City berjaya bergelar juara liga musim ini. -Foto Reuters

Aguero lega elak drama hari terakhir

LONDON: Kejayaan terbaru Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris tidak sehebat gol kemenangan Sergio Aguero dengan sepakan terakhir musim pada 2012, namun pemain Argentina itu lega memenangi kejuaraan sekalipun berbaki lima perlawanan.

City turut menang kejuaraan pada hari terakhir musim 2013-14, namun Aguero percaya pingat kemenangan liga ketiganya di England adalah hasil daripada permainan terbaik pasukan itu sejak dia tiba dari Atletico Madrid pada 2011.

"Ini kejuaraan ketiga saya bersama City dan rasa lega tidak perlu menunggu hingga hari terakhir kali ini," kata Aguero dalam akaun Twitter City.

City di landasan terbaik untuk memecah rekod mata dan gol terbanyak serta dibandingkan dengan pasukan hebat dalam era Liga Perdana.

"Musim ini amat menakjubkan dan bola sepak yang kami persembahkan adalah yang terbaik sepanjang pembabitan saya di kelab ini.

"Seronok bermain dengan pasukan ini dan menjadi sebahagian daripada yang kami raih musim ini.

"Bagi pemain seperti David Silva, Vincent Kompany dan Yaya (Toure) yang sudah lama di sini, ia lebih istimewa kerana ia satu lagi kejuaraan yang kami menangi bersama. - AFP

846 dibaca
Berita Harian X