Rabu, 14 March 2018 | 6:28pm
STADIUM Selhurst Park akan diubahsuai dan dilakukan penjenamaan semula.

Crystal Palace mahu tukar nama Selhurst Park

LONDON: Crystal Palace bersedia melakukan pengubahsuaian dan penjenamaan semula ke atas Stadium Selhurst Park, kata Pengerusi Kelab Liga Perdana Inggeris, Steve Parish.

Palace mengumumkan rancangan pada Disember lalu untuk membina tempat duduk utama lima tingkat ke atas bangunan stadium yang kini berusia 93 tahun, bagi meningkatkan kapasiti tempat duduk daripada 26,000 kepada lebih 34,000.

Jika mendapat kelulusan pihak berkuasa Croydon pada bulan depan, kerja pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh setahun. 

Parish berharap peminat memahami jika kelab menukar nama stadium berkenaan untuk mendapatkan penajaan projek yang dijangka menelan belanja sehingga 100 juta pound (RM544.1 juta).

"Jika betul perancangannya dan ada yang sanggup membantu (membina tempat duduk baharu), kami sedang mempertimbangkan, lebih cepat lebih baik,"  kata Parish kepada Standard Sport.

"Selhurst Park ialah nama yang cukup bagus...saya berharap saya tidak menjadikannya terlalu peribadi kerana sasaran utama ialah memajukan kelab. Fokus kedua saya ialah menjadikan kelab lebih baik.

"Tetapi semua ini ada beban tersendiri. Kami tidak akan melaluinya dengan senang. Saya percaya, orang ramai akan memahami jika ini adalah penyelesaian terbaik untuk kelab dan ia adalah keputusan terbaik daripada kelab. Itu saja," katanya.

Pengubahsuaian itu termasuk membesarkan saiz kawasan padang, daripada 68 meter kepada 105 meter sekaligus menjadikannya sebagai venue yang menepati kehendak UEFA dan sesuai untuk menjadi tuan rumah kepada acara besar di Eropah.

Ketika ini, Palace berada di tangga ke-18 liga dengan 27 mata selepas mengharungi 30 perlawanan. Awal bulan lalu, Parish menegaskan, dia sudah memulakan langkah menyelamatkan kelab daripada zon penyingkiran untuk musim depan. - Reuters

411 dibaca
Berita Harian X