Rabu, 14 March 2018 | 6:20pm
PENGENDALI sementara Kelantan, Yusri Che Lah (kiri) berahsia untuk mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan bimbingannya bertemu PKNS FC di pusingan ketiga Piala FA. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Yusri berahsia hadapi PKNS FC

KOTA BHARU: "Tidak berlaku banyak perubahan terhadap pasukan untuk bertemu PKNS FC," itu reaksi pengendali sementara Kelantan, Yusri Che Lah, mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA, di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih kelahiran Perlis itu berat hati mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan bimbingannya sebaliknya hanya menuntut setiap anak buahnya bekerja keras dalam perlawanan kalah mati itu.

"Tiada apa yang mahu saya ulas lanjut kerana semua orang tahu perlawanan ini adalah pertembungan yang cukup penting buat pasukan.

"Cuma apa yang boleh diperkatakan pasukan perlu lebih berhati-hati dalam perlawanan nanti memandangkan ia satu perlawanan kalah mati dan bakal menjadi penentu kepada laluan peringkat seterusnya Piala FA.

"Berdepan PKNS FC di tempat lawan untuk kali kedua pula bukan satu kerja mudah buat kami namun perkara itu boleh diatasi dengan perancangan teliti dan rapi serta fokus yang tinggi daripada semua pemain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelantan sekali lagi bakal menjadi pelawat di Shah Alam selepas berdepan pasukan yang sama dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.

Namun pertemuan kali ini agak berbeza berikutan ia menjadi penentu kepada laluan kedua-dua pasukan terbabit untuk layak ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.

Mengulas mengenainya, Yusri mengakui laluan terbabit amat berliku memandangkan setiap pasukan yang bersaing mempunyai kekuatan tersendiri.

"Sudah pasti hasrat kita untuk pergi lebih jauh dan layak ke peringkat akhir namun itu bukan perkara yang mudah.

"Tetapi saya yakin dengan kemampuan setiap pemain mereka mampu melakukan yang terbaik dari satu perlawanan ke satu perlawanan lalu membuka jalan untuk pasukan ke peringkat seterusnya," katanya.

1468 dibaca
Berita Harian X