Rabu, 14 March 2018 | 5:29pm
BEKAS pemain skuad Olimpik 1980, Ramli Junit. - Foto Saifullizan Tamadi

Tiada alasan MU gagal mara - Ramli

MELAKA: Legenda bola sepak negara, Ramli Junit berkata tiada alasan pasukan Melaka United (MU) tewas kepada lawan berikutan aksi di laman sendiri dilihat satu kesempatan terbaik buat MU mara ke suku akhir ketika berdepan Kuala Lumpur pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Sabtu ini.     

Katanya, rekod kebal MU yang belum pernah tewas di gelanggang berkenaan seharusnya menjadi suntikan motivasi buat pemain untuk merealisasikan hasrat melangkah lebih jauh pada saingan piala terbabit.   

"Momentum kemenangan ke atas Kelantan, Negeri Sembilan dan PKNP di pentas Liga Super dan mengatasi Southern FC pada saingan pusingan kedua Piala FA di gelanggang sama membuktikan mereka mampu melakukannya sekali lagi kali ini.

"Kepada pemain, mereka perlu fokus sepanjang detik perlawanan dan membantu antara satu sama lain sama ada ketika bertahan dan menyerang, sekali gus memenuhi misi melakar kejayaan," katanya.


REKOD kebal MU yang belum pernah tewas di laman sendiri dilihat satu kesempatan terbaik buat MU mara ke suku akhir Piala FA. - Foto Rasul Azli Samad

Ramli yang juga bekas pemain skuad Olimpik 1980 berkata, perubahan positif dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga mampu menjadi azimat berharga buat pasukan itu untuk menceriakan peminat.   

Sementara itu, jurulatih MU, Eduardo Almeida tetap melihat lawan sebagai pasukan yang memiliki kekuatan tersendiri yang perlu ditangani dengan bijak oleh anak buahnya.

"Tiada strategi rahsia untuk mengekang lawan kerana saya sudah menyediakan pelan positif ketika sesi latihan untuk mencipta kemenangan.

"Sasaran pasukan pastinya untuk mengatasi Kuala Lumpur. Justeru, pemain yang bakal diturunkan adalah mereka yang mampu untuk memenuhi harapan berkenaan," katanya.

Baginya, mencari kekurangan lawan dan membentuk kelebihan adalah amat penting menanti kehadiran pelawat yang memiliki reputasi gah menewaskan pasukan hebat, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah sebelum ini.

646 dibaca
Berita Harian X