Rabu, 14 March 2018 | 4:39pm
KEBANYAKAN jurulatih tempatan mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka dalam bidang kejurulatihan. - Foto Asyraf Hamzah

Tak terkejut pun

KUALA LUMPUR: Bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat ramai jurulatih tempatan masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) meskipun timbul persepsi bahawa jurulatih import lebih baik.

Ia diakui Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim yang menyifatkan kebanyakan jurulatih tempatan yang diberi kepercayaan itu kini sudah berada pada kelas yang sama dengan jurulatih import yang mengendalikan beberapa pasukan di negara ini.

"Kalau kita lihat, kebanyakan jurulatih tempatan mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka dalam bidang kejurulatihan. Mereka komited terhadap tahap pendidikan mereka sekali gus menaikkan lagi kelayakan mereka untuk menjadi jurulatih.

"Usaha sebegini nyata membuahkan hasil apabila kita dapat lihat tahap kesediaan mereka untuk menjadi jurulatih menjadi bertambah baik dan ia setara dengan apa yang dimiliki oleh jurulatih import di negara ini.

"Memang dari aspek pencapaian, kita dapat saksikan banyak perbezaan kerana setiap pasukan memiliki kriteria dan kedudukan kewangan masing-masing. Namun jika dinilai dari segi kualiti dan kemahiran yang dimiliki, saya berpendapat jurulatih tempatan sebagus jurulatih import," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa sama, Zulakbal menjelaskan kebanyakan pasukan di negara ini lebih cenderung untuk mendapatkan jurulatih tempatan disebabkan rata-ratanya adalah bekas pemain kebangsaan dan sudah 'masak' dengan senario bola sepak tanah air.

"Ini adalah salah satu faktor pasukan mengambil jurulatih tempatan. Mereka sudah kenal pemain yang ada, tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini.

"Jika kita lihat, pasukan hanya memiliki enam ke lapan minggu sahaja untuk menyiapkan pasukan ketika rehat liga sebelum mengharungi musim baharu. Jurulatih import yang baharu datang mungkin bergelut untuk menyiapkan pasukan dalam tempoh sebegitu," katanya.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan berdasarkan senarai barisan kejurulatihan pasukan yang dikeluarkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), enam jurulatih serta satu jurulatih sementara dalam pasukan Liga Super diberi kuasa penuh untuk mencorak taktikal pasukan masing-masing.

Malah, dominasi lebih besar dapat disaksikan dalam kancah Liga Perdana selepas sembilan daripada 12 pasukan divisyen dua itu mendapatkan khidmat jurulatih tempatan.

1813 dibaca
Berita Harian X