Rabu, 14 March 2018 | 2:11pm
ECK Development yakin Kedah mampu atasi Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini. FOTO/FAIL

Penaja yakin Kedah kekal semangat

ALOR SETAR: Penaja utama Kedah, ECK Development Sdn Bhd yakin wira Kedah memiliki semangat waja dan motivasi tinggi untuk turun menentang Pahang pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Pengarah ECK Development, Puan Seri Ginney Chew berkata, motivasi serta semangat waja penting untuk dijadikan bekalan Kedah ke Kuantan dan pihaknya sudah 'turun padang' bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk memberi motivasi serta kata perangsang kepada semua pemain.

"Berdepan Pahang di tempat lawan bukan tugas yang mudah dan kami perlu memberi suntikan semangat serta motivasi kepada semua pemain dalam usaha menaikkan tahap keyakinan terutama selepas tewas kepada Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Saya harap mereka turun beraksi dengan bersungguh-sungguh memburu kemenangan dan kalau lihat kepada motivasi mereka, saya yakin pemain kami akan beraksi dengan penuh semangat pada hari perlawanan nanti," katanya.

ECK Development menjadi penaja utama Kedah musim ini sejak September lalu dengan tajaan lebih RM18 juta menggantikan Bina Darul Aman Berhad yang menjadi penaja musim lalu.

843 dibaca
Berita Harian X