Rabu, 14 March 2018 | 12:40pm
MKHTARYAN (kanan) mahu bantu Arsenal kecapi kejayaan dlaam Liga Europa. FOTO/AFP

Mkhitaryan tekad julang Gunners

LONDON: Henrikh Mkhitaryan menyertai Arsenal kurang dua bulan tetapi ia tidak menghalang bintang tengah itu 'bersuara' dalam usahanya membantu Gunners mengecapi kejayaan dalam kancah Liga Europa.

Perpindahan Mkhitaryan ke Arsenal adalah sebahagian daripada perjanjian membabitkan Alexis Sanchez ke Manchester United pada Januari lalu tetapi pemain kelahiran Armenia itu sudah meletakkan dirinya sebagai antara tonggak Arsene Wenger.

Pemain berusia 29 tahun itu jarang diturunkan oleh pengurus United, Jose Mourinho tetapi Wenger tampak lebih menghargai kualitinya dan meletakkannya di bahagian tengah daripada posisi tiga pemain tengah menyerang.

Mkhitaryan menjaringkan gol dalam dua penampilan terakhirnya bersama Arsenal bermula ketika menewaskan AC Milan 2-0 dalam kempen Liga Europa sebelum menjaringkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris ketika menundukkan Watford 3-0, Ahad lalu.

Ia sekali gus meringankan beban yang menghimpit Wenger ketika ini dengan hanya trofi Liga Europa yang juga tiket ke Liga Juara-Juara boleh dianggap realistik bagi menyelamatkan jawatannya musim depan.

Begitupun, ketika pertemuan dengan Watford, hanya 59,131 tiket berjaya dijual dan meninggalkan beberapa ribu kerusi kosong dan bagi Mkhitaryan, situasi itu disifatkan boleh mengganggu rentak kelab untuk mengharungi tempoh genting.

"Kami sentiasa bermain untuk peminat, tidak kira jika mereka datang atau tidak," kata Mkhitaryan.

"Kami sentiasa bermain untuk mereka yang datang dan menyokong kami, mereka yang benar-benar datang dan menyokong kami adalah peminat kami yang sebenar.

"Sesiapa yang datang ke stadium hanya apabila kami menang, tiada apa yang boleh kami katakan. Hanya terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan."

Sekalipun bergelut di United, Mkhitaryan begitupun terbukti penting dalam usaha Red Devils menjuarai Liga Europa musim lalu termasuk meledak gol pada final ketika menewaskan Ajax di Stockholm. - AFP

888 dibaca
Berita Harian X