;
Rabu, 14 March 2018 | 12:34pm
JIPUN tekad rebut kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

Jipun tak mahu jadi pelengkap

KOTA KINABALU: Kapten Sabah, Rawilson Batuil tidak mahu langkahnya terhenti setakat menyertai kem latihan pasukan Harimau Malaya.

Sebaliknya, pemain pertahanan berusia 24 tahun itu bertekad untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad negara walaupun menganggap ia satu tugas sukar.

"Dipanggil menyertai kem latihan skuad senior negara sudah pasti menjadi kebanggaan bagi saya, namun saya tidak mahu menjadi sekadar pelengkap senarai.

"Memang sukar, jika anda lihat senarai pemain yang dipanggil, ramai nama besar dan tidak kurang juga pemain naturalisasi yang disenaraikan.

"Bagaimanapun, saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan saya juga layak mewakili pasukan negara," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pemain berasal dari Kota Marudu itu adalah antara 29 pemain yang dipanggil menyertai pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, minggu depan.

Selain itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga sedang melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut pada 27 Mac depan.

Sementara itu, pengendali Sabah, Jelius Ating ketika dihubungi berharap Rawilson yang lebih mesra dipanggil Jipun oleh rakan sepasukannya dapat mengambil peluang itu sebaik mungkin.

"Saya kata kepada Rawilson, dipanggil menyertai kem latihan pasukan negara dapat mengangkat dia ke satu tahap lebih tinggi dan ini permulaan kejayaan dalam kariernya.

"Daripada semua pemain yang bermain dalam Liga Malaysia, dia (Rawilson) antara yang dipanggil dan saya harap dia akan bersungguh-sungguh di sana nanti untuk merebut tempat dalam skuad utama," katanya.

Kali terakhir pemain berasal dari Sabah dipanggil menyertai Harimau Malaya adalah Ronny Harun pada 2016 bagi kejohanan Piala AFF. Ronny tersenarai dalam kesebelasan terbaik AFF walaupun pasukan negara tersingkir pada peringkat kumpulan.

2557 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »