Rabu, 14 March 2018 | 7:16am
DZEKO (kiri) jaringkan gol tunggal perlawanan Roma menentang Shakhtar. -Foto EPA

Dzeko pacu Roma ke suku akhir Liga Juara-Juara

ROME: AS Roma melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun ketika gol tunggal Edin Dzeko membantu mereka mengatasi Shakhtar Donetsk 1-0 di Stadium Olimpik, awal pagi tadi.

Kemenangan di laman sendiri itu membenarkan kelab dari Itali itu layak menerusi gol di tempat lawan selepas agregat terikat 2-2.

Selepas tewas 2-1 pada aksi pertama di Ukraine, penyerang Bosnia itu meledak pada minit ke-52 dengan Shakhtar yang beraksi 10 pemain bergelut mencari gol lewat selepas Ivan Ordets dibuang padang di penghujung permainan.

Gol Cengiz Under pada aksi pertama jelas penting buat Roma tetapi Dzeko menjadi wira kemenangan selain ketiadaan pertahanan Shakhtar, Ordets yang dilayangkan kad merah ketika permainan berbaki 12 minit.

Ketiadaan Ordets yang mengasari Dzeko jelas meningkatkan ketegangan di atas padang dengan seorang lagi pemain Shakhtar, Facundo Ferreyra turut dilayangkan kad kuning kerana menolak budak penangkap bola ke arah papan iklan.

Kemenangan menyaksikan skuad kendalian Eusebio Di Francesco menjadi pasukan kedua dari Itali selepas Juventus yang mara ke peringkat sama dengan undian dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.

"Penghormatan ini bukan untuk saya tetapi untuk semua orang, kami layak berada di suku akhir," kata Dzeko yang menerima tepukan gemuruh oleh peminat yang turut berdiri ketika dia meninggalkan padang.

"Kami berupaya melakukan sesuatu yang Roma tidak dapat lakukan selama 10 tahun, jadi beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik membuatkan kami semua amat gembira. 

"Kami adalah lapan pasukan terbaik di Eropah."

Roma tidak melepaskan gol di laman sendiri pada aksi peringkat kumpulan dan menewaskan Chelsea 3-0 di Stadium Olimpik justeru 47,693 peminat mereka yakin pasukan itu mampu melangkah lebih jauh. -AFP

759 dibaca
Berita Harian X