Ahad, 11 March 2018 | 7:01pm
ZAQUAN (kiri) pacu kemenangan KL ke atas Kedah. - Foto fail

Zaquan kembali ke puncak prestasi

KUALA LUMPUR: Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Radzak berhak mendapat pujian selepas berjaya memacu Kuala Lumpur untuk meraih kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi.

Persembahan cemerlang Zaquan itu boleh dianggap sebagai amaran daripada bekas penyerang kebangsaan berkenaan, bahawa dia kini mampu untuk kembali ke puncak prestasi terbaiknya.

Hanya kali kedua tampil dalam skuad utama sejak pulih daripada kecederaan, Zaquan memecahkan benteng pertahanan Kedah untuk meledak gol pertama sebelum menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan Guilherme De Paula.

Paulo Josue menjadikan kedudukan 3-2, pada minit ke-82 sebelum Ashri Chuchu menjaringkan gol kemenangan Kuala Lumpur pada minit akhir selepas Pablo Pallares menyamakan kedudukan kepada 3-3.

"Saya adalah pemain yang sudah melalui banyak detik sukar kerana kecederaan," kata Zaquan, yang mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT) dari 2013 hingga 2016. 

"Saya selalu merasakan apabila saya pulih, saya mampu beraksi semula. Semangat saya tidak pernah luntur dan keyakinan saya sentiasa tinggi, terima kasih kepada keluarga kerana mendoakan saya." 

Jaringan Zaquan itu adalah yang pertama sejak kali terakhir meledak gol untuk Perak ketika menewaskan Selangor 1-0 pada 4 Mac, tahun lalu.

Namun, Zaquan berkata, pujian seharusnya diberikan kepada semua rakan sepasukannya atas kejayaan mereka menewaskan Kedah.

"Saya gembira kami mendapat kemenangan tetapi ia bukan untuk saya, ia adalah usaha pasukan," katanya. "Dalam bola sepak kami bermain 11 pemain dan jika tanpa rakan sepasukan, saya tidak boleh melakukan apa-apa.

"Saya harap kami boleh mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya dan saya harus memastikan persembahan yang konsisten.

"Tiada gunanya jika saya bermain dengan baik hari ini (semalam), tetapi tidak melakukan perkara yang sama dalam perlawanan seterusnya."

1208 dibaca
Berita Harian X