Khamis, 15 Februari 2018 | 1:16pm
PERTAHANAN Real, Marcelo (kanan) meraikan jaringan bersama pengendalinya, Zinedine Zidane ketika bertemu PSG pada aksi Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. - Foto AFP

Zidane lega, anggap Real berhak menang

MADRID: Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane merasakan skuadnya berhak meraih kemenangan selepas juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

"Kami boleh berpuas hati dengan corak permainan kami. Kami terus berjuang hingga ke akhir.

"Ia keputusan yang baik dan pasukan berhak mendapat ucapan tahniah," kata pengendali dari Perancis itu selepas dua gol Cristiano Ronaldo - satu penalti - dan rembatan Marcelo memastikan kemenangan di Santiago Bernabeu.

"Ia hari yang baik, kami berhak mendapat kemenangan ini. Semuanya bagus dan setiap orang memainkan peranan penting."

Real dikejutkan dengan gol pembukaan Adrien Rabiot tetapi penalti Ronaldo kembali menyamakan kedudukan sebelum rehat dan dua gol lewat permainan memberikan kemenangan buat Real.

"Kami perlu bergembira dengan apa yang kami lakukan ke atas pasukan bagus yang mampu menjadikan situasi sukar buat anda. Kami amat bangga dengan pasukan," katanya.


REAL terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pemain PSG, Adrien Rabiot (kanan). - Foto REUTERS

Sebaliknya di kem PSG, pengendalinya Unai Emery kecewa dengan pengadil dari Itali, Gianluca ROcchi.

"Pasukan bermain dengan baik. Mereka menunjukkan karakter. Kami berhak mendapat keputusan lebih baik tetapi pengadil tidak membantu kami," kata Emery yang berasakan skuadnya juga berhak mendapat sepakan penalti apabila Sergio Ramos dikatakan menahan rembatan Rabiot menggunakan tangan.

"Penalti mereka tidak begitu jelas. Sepatutnya kami mendapat penalti kerana bola jelas terkena tangan Ramos. Pengadil membuat keputusan yang merosakkan kami."

PSG akan bertemu Real di Parc des Princes untuk aksi timbal balik pada 6 Mac ini. - AFP

918 dibaca
Berita Harian X