Rabu, 14 Februari 2018 | 10:53pm
PEMAIN JDT, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika bertemu Persija Jakarta dalam perlawanan Kumpulan H Piala AFC 2018 di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT mudah jinak Persija Jakarta

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) melonjak ke tangga teratas Kumpulan H selepas mudah menewaskan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta 3-0 dalam aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, pengendali JDT, Ulisses Morais memberi kepercayaan kepada Farizal Marlias membuat penampilan pertama di gawang selepas tamat tempoh penggantungan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Malah perubahan taktikal juga dilakukan pengendali kelahiran Portugal itu apabila meletakkan Hariss Harun bergandingan bersama Fadhli Shas di benteng pertahanan selepas merehatkan Marcos Antonio yang belum pulih daripada kecederaan.


PEMAIN JDT, Pereyra Diaz (tengah) diasak pemain Persija Jakarta, Marko Kabiay (kiri) ketika perlawanan Kumpulan H Piala AFC 2018 di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Aksi agresif ditampilkan tuan rumah nyaris mencipta jaringan seawal minit ketiga selepas bola sepakan percuma kapten, Safiq Rahim di sebelah sayap kiri mengundang cemas gawang skuad kendalian Stefano Cugurra.

Namun bola tepat kepada Fadhli Shas yang melonjak tinggi untuk menanduk sekadar singgah di palang ketika penjaga gol, Andritany Ardhiyasa sudah tertewas.

Bermula daripada gerakan tengah oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-29 yang melorongkan bola kepada Azrif Nasrulhaq sebelum Ahmad Hazwan Bakri yang tidak dikawal menolak bola mudah menewaskan Andritany.

Diaz yang menjadi pencetus gol pertama nyata berada dalam kelas tersendiri apabila larian pantasnya berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-41 dan sempat menggelecek Andritany yang keluar dari posisi serta menolak bola ke gawang sudah terbuka.

Bersambung babak kedua, Diaz hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-54 selepas bertindak merampas bola daripada pertahanan pelawat namun rembatannya berjaya dihalang Andritany.

Persija yang tampak terdesak mula mengatur serangan untuk memburu gol namun masih belum mampu menembusi benteng skuad Harimau Selatan malah gol pada minit ke-65 hasil jaringan Addison Alves dibatalkan pengadil dari Qatar, Saoud Ali kerana berada dalam keadaan ofsaid.

Tuan rumah terus mengganas apabila menambah derita pelawat pada minit ke-75 selepas bola tolakan Diaz tidak dipersia-siakan pemain gantian, Safawi Rasid yang merembat kencang dari luar kotak penalti dan kedudukan jaringan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

8417 dibaca
Berita Harian X