Rabu, 14 Februari 2018 | 8:31pm
TIMBALAN Presiden TFC, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin (kanan) bersama pengurusan TFC dan Bank Islam menunjukkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC "Peteh Terengganu Peteh'. - Foto Email

Bank Islam, TFC jalin kerjasama

 

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meneruskan kerjasama menyokong sukan bola sepak negara apabila melancarkan satu lagi usaha penjenamaan terbaharu menerusi Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC 'Peteh Terengganu Peteh'.

Kerjasama dijalankan dengan Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) itu adalah usaha penjenamaan ketujuh membabitkan Bank Islam dan Visa bersama pasukan bola sepak (FA) selepas kerjasama pertama membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Ia disusuli Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan juga Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Kad debit terbabit dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin bersama Timbalan Presiden TFC merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

"Penjenamaan bersama ini adalah inisiatif Bank Islam untuk memberikan sokongan padu kepada sukan bola sepak negara dan bertujuan untuk menyemarakkan lagi sokongan daripada warga Terengganu terhadap pasukan negerinya.

"Dengan pengagihan insentif melalui penjenamaan bersama berjumlah lebih RM9 juta ringgit kepada pasukan-pasukan bolasepak tanah air, kami menjangkakan jumlah ini akan meningkat menerusi inisiatif serupa dengan beberapa pasukan bolasepak lain pada tahun ini.

"Bank Islam juga mengeluarkan lebih 700,000 kad penjenamaan bersama dengan pasukan-pasukan bola sepak dalam negara sepanjang dua tahun lalu. Dengan sambutan memberangsangkan ini, kami berharap ia membantu pembangunan sukan bola sepak sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan rakyat melalui sukan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kad ini menawarkan pelbagai manfaat kepada pemiliknya dan sebahagian daripada jumlah yuran tahunan kad ini akan dimanfaatkan oleh TFC sebagai satu sumbangan daripada pihak bank dan pemegang kad kepada pembangunan pasukan bola sepak kesayangan mereka.

Sementara itu, Wan Nawawi mengharapkan penyokong bola sepak Terengganu dapat memanfaatkan kad debit baharu terbabit sebagai satu langkah untuk membantu skuad Penyu.

"Ini adalah kali pertama TFC bekerjasama dengan sebuah bank dalam program kad penjenamaan bersama. Dengan kerjasama bersama Bank Islam, kami berharap penyokong bola sepak Terengganu akan menikmati pelbagai manfaat daripada kad debit-i ini dan menyumbang kepada pembangunan pasukan negeri," katanya.

360 dibaca
Berita Harian X