Rabu, 14 Februari 2018 | 5:27pm
PEMAIN Southern FC Lai Weng Fatt (kanan) diasak pemain Selangor United pada aksi Pusingan Pertama Piala FA 2018 di Stadium Mini Maktab Penjara. - Foto BERNAMA

2 kelab amatur lakar kejutan

 

KUALA LUMPUR: Kejutan terbesar disaksikan pada pusingan pertama Piala FA apabila pasukan dari Liga Sosial, Southern FC berjaya ke pusingan kedua selepas menundukkan pasukan Liga FAM, Selangor United 2-1 pada aksi di Stadium Mini Penjara Kajang, semalam.

Meskipun Selangor United mendahului sepakan penalti disudahkan Yusaini Hafiz Chee Saad pada minit ke-40, Southern FC di bawah bimbingan Gan Chee Lim bangkit meledak dua gol dalam tempoh 10 minit babak kedua menerusi Sharul Afif Shaharudin sekali gus membolehkan mereka meraih kemenangan tipis 2-1.


PEMAIN Southern FC meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Selangor United 2-1 pada aksi Pusingan Pertama Piala FA 2018 di Stadium Mini Maktab Penjara. - Foto BERNAMA

Bagaimanapun, mereka berdepan laluan sukar di pusingan kedua apabila bakal bertemu pasukan Liga Super, Melaka United (MU) namun tidak mustahil satu lagi kejutan bakal dilakukan pasukan itu pada saingan itu nanti.

Mengiringi Southern FC ke pusingan kedua Piala FA adalah satu lagi kelab dari Liga Sosial yang juga juara Liga Juara Juara Selangor 2017 (SCL), Axis-O2 FC yang menumbangkan SRCC Kuala Kangsar FC 4-1 untuk menempah pertemuan dengan pasukan Liga Perdana, Kuantan FA.

Gol Axis-O2 FC yang dibimbing Muhd Shazwan Wong Abdullah dijaringkan Muhd Adli Zulgafli, Muhd Aidil Shahrul Rosli, Muhd Haedar Abd Halim dan Muhd Farhan Khairul Anuar sementara gol sagu hati SRCC Kuala Kangsar disumbangkan Meor Khorul Nazri Meor Khoridi.

Sementara itu, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menerusi satu kenyataan berkata, kemenangan dua pasukan dari Liga Sosial itu membuktikan betapa pasukan liga amatur juga dapat memberi saingan yang cukup hebat kepada pasukan liga profesional di negara ini.

"Satu perkembangan positif ditunjukkan pasukan dari liga amatur ini apabila mereka menggunakan peluang sepenuhnya diberikan FMLLP dengan menjadikan Piala FA Malaysia 2018 ini sebagai batu loncatan ke arah kemajuan dan lebih berdaya saing.

"Selain hasrat mengembalikan bola sepak kepada rakyat, tujuan langkah ini diambil untuk merapatkan jurang persaingan liga amatur dan juga profesional supaya lebih banyak bakat-bakat baharu dapat dicungkil dan diketengahkan sekali gus memberi perkembangan positif kepada bola sepak Malaysia," katanya, hari ini.

Keputusan lain menyaksikan Kuching FA menewaskan Real Chukai FC 2-0, Shahzan Muda meraih kemenangan 3-0 ke atas PIB FC dan MOF FC membelasah CNA FC 6-0.

Hanelang FC meraih kemenangan 3-0 ke atas Invictus FC, Terengganu FC menang tipis 2-1 ke atas Jerantut FA sementara PJ Rangers FC membenam MD Jempol FC dengan keputusan 6-1.

2214 dibaca
Berita Harian X