Rabu, 14 Februari 2018 | 12:27pm
PENGURUS City, Pep Guardiola menganggap kemenangan 4-0 ke atas Basel, awal pagi tadi adalah keputusan yang menakjubkan. - Foto AFP

Benam Basel keputusan menakjubkan: Guardiola

BASEL, Switzerland: Ilkay Gundogan meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 Manchester City di FC Basel semalam, untuk meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu semakin hampir dengan kelompok lapan terakhir Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Pep Guardiola memastikan pertembungan pertama kelompok 16 terakhir itu milik mereka dengan mendahului 3-0 selepas 23 minit permainan di Sankt Jakob Park.

Tiga gol pertama muncul dalam dalam tempoh sembilan minit hasil tandukan Gundogan, voli Bernardo Silva dan percubaan jarak jauh Sergio Aguero.

Derita Basel berterusan selepas rehat apabila Gundogan meledak gol keempat City dari luar kotak penalti dan hampir melengkapkan hatrik.

"Untuk menang 4-0 dalam kelompok 16 terakhir adalah keputusan yang menakjubkan, kami semakin hampir dengan suku akhir, tetapi saya tidak berkata kami sudah terjamin ke sana," kata Guardiola.

"Kami bertahan dengan baik dan begitu tajam - kami mempunyai empat peluang dan memanfaatkan kesemuanya."


PEMAIN tengah City, Ilkay Gundogan (kanan) mempamerkan aksi menarik apabila meledak dua gol tetapi beliau turut mengutip kad kuning selepas pertembungan dengan pemain Basel. - Foto AFP

Keputusan itu seakan menutup peluang kelab Switzerland itu menjelang aksi timbal balik di Etihad pada 7 Mac.

Pemain tengah Jerman, Gundogan mempamerkan aksi mengagumkan di barisan tengah, memulakan gerakan untuk dua golnya dengan mematahkan serangan Switzerland.

Satu-satunya perkara negatif buat Gundogan ialah layangan kad kuning selepas pertembungan dengan pemain tengah veteran Basel, Serey Die dari Ivory Coast.

Pengendali Basel Raphael Wicky meletakkan lima pemain pertahanan ketika bertahan, tetapi tetap gagal mengekang asakan City dalam tempoh 14 minit pertama. - AFP

646 dibaca
Berita Harian X