;
Ahad, 11 Februari 2018 | 7:12pm
PEMAIN Kuala Lumpur meraikan kemenangan ketika perlawanan bolasepak Liga Super Malaysia 2018 JDT menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras. - Foto Eizairi Shamsudin

JDT gagal bangkit

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal bangkit daripada ketinggalan satu gol di tangan Kuala Lumpur selepas aksi dua pasukan itu bersambung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.

Kuala Lumpur mendahului menerusi jaringan Paulo Josue di penghujung babak pertama sebelum aksi ditangguhkan pada minit ke-57 susulan keadaan padang ditakungi air namun JDT gagal menemui sentuhan penyudah meskipun mendominasi permainan sekali gus akur tunduk 1-0.

Kemenangan pertama buat skuad 'The Hawks' pada musim ini menyaksikan mereka berjaya keluar dari tangga tercorot liga sementara JDT yang mengutip enam mata ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, PKNS FC.

Kuala Lumpur dilihat lebih banyak bertahan dengan  JDT lebih agresif untuk memburu gol menerusi tandukan Luciano Figueora yang ditepis Kamarul Effandi Rahim pada minit ke-59 sebelum percubaan Harris Harun tepat ke dakapan Kamarul.

Kamarul yang memperagakan aksi memukau semalam dilayangkan kad kuning selepas cuba melambatkan perlawanan ketika Kuala Lumpur cuba untuk mempertahankan kelebihan satu gol.

Bagaimanapun, penyerang tuan rumah, Guilherme De Paula berjaya melepasi pertahanan JDT namun percubaannya sekadar tersasar pada minit ke-78.

Tandukan Figueroa sekali lagi tersasar pada minit ke-80 sebelum percubaan Hariss berjaya dikeluarkan di atas garisan oleh Hisyamuddin Shaari pada minit ke-86.

5349 dibaca
Berita Harian X