Ahad, 4 Februari 2018 | 10:53am
PEMAIN pertahanan Lille, Edgar Ie (kiri) mengekang penyerang PSG, Neymar pada saingan Ligue 1 di Stadium Pierre-Mauroy, awal pagi tadi. - Foto AFP

Neymar, PSG dapat tonik

PARIS: Neymar meledak gol menarik menerusi sepakan percuma bagi membantu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan kelab bermasalah Lille 3-0 dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Menanti pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, kemenangan di gelanggang Lille, Stade Pierre-Mauroy adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh pendahulu liga Perancis itu ketika ini.

Selepas Yuri Berchiche membuka tirai jaringan pada lewat babak pertama, Neymar yang juga pemain termahal dunia menjaringkan gol kedua pada minit ke-77.

Giovani Lo Celso kemudian melengkapkan jumlah jaringan untuk PSG memiliki kelebihan 11 mata di puncak liga mengatasi Marseille.

PSG sudah memenangi 12 daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk empat berturut-turut sejak kekalahan mengejut 2-1 di Lyon, bulan lalu.

"Persiapan terbaik bagi perlawanan di Madrid adalah sentiasa menjadi kompetitif dalam setiap perlawanan dan berusaha keras untuk memperbaiki perkara yang kami perlu tingkatkan," kata pengurus PSG, Unai Emery.

Emery begitupun mengharapkan beberapa pemain utamanya seperti Adrien Rabiot, Julian Draxler dan Thiago Motta kembali cergas bagi aksi berkenaan dengan Kylian Mbappe hampir pasti dapat diturunkan bagi aksi di Santiago Bernabeu, 14 Februari ini.


PENYERANG PSG, Neymar dikasari pemain tengah Lille, Yves Bissouma pada saingan Ligue 1 di Stadium Pierre-Mauroy, awal pagi tadi. - Foto AFP

Mbappe tidak beraksi di Lille selepas dikenakan penggantungan apabila dia diarahkan keluar padang oleh pengadil ketika aksi separuh akhir Piala Liga di Rennes, pertengahan minggu lalu.

"Masih banyak perkara yang boleh berlaku. Saya tidak boleh bercakap siapa yang akan bermain di Madrid, ia adalah mustahil. Saya hanya mengharapkan yang terbaik akan tiba," kata Emery yang pasukannya turut dijadual beraksi dalam kempen Piala Perancis menentang Sochaux, Selasa ini. - AFP

1134 dibaca
Berita Harian X