;
Isnin, 22 Januari 2018 | 1:06pm
BANYAK pihak khususnya penyokong tempatan melihat barisan pemain B-23 adalah sandaran masa depan bola sepak negara selepas mempamerkan prestasi baik di Kejohanan AFC B-23.

Jangan sampai pemain B-23 terbiar: Yusoff

TIADA jaminan untuk pemain muda mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya meskipun mereka melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Kunshan, China baru-baru ini.

Anak didik Datuk Ong Kim Swee itu perlu terus meningkatkan prestasi andai mahu kekal bersama pasukan untuk kejohanan seterusnya atau diserapkan beraksi bersama pemain senior.

Justeru, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap permata negara itu tidak terbiar apabila pulang ke pangkuan pasukan negeri atau kelab masing-masing sebaik Liga Malaysia (Liga-M) bermula nanti.

"Pemain pasukan ini perlu dijaga, perlu diberikan pendedahan, perancangan yang teliti bagi menjaga pasukan ini supaya pemain tak hilang begitu saja, atau balik ke negeri... sudah hilang rentak.


SKUAD B-23 negara perlu terus meningkatkan prestasi andai mahu kekal bersama pasukan untuk kejohanan seterusnya atau diserapkan beraksi bersama pemain senior.

"Persatuan bola sepak negeri juga perlu menjaga pemain ini apabila mereka balik ke pasukan masing-masing, kita harapkan persatuan bola sepak negeri menjaga mereka dan cuba bangunkan lagi," katanya yang juga pengurus skuad B-23 kebangsaan.

Banyak pihak khususnya penyokong tempatan melihat barisan pemain B-23 adalah sandaran masa depan bola sepak negara selepas mempamerkan prestasi baik di Kejohanan AFC B-23.

Anak buah Kim Swee layak ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan C menerusi kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi, 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 kepada Iraq.

Mereka juga hampir melakukan satu lagi kejutan namun dikecewakan dengan kekalahan kepada finalis 2016, Korea Selatan 1-2 pada aksi suku akhir.

Paling penting, selepas ini adalah misi untuk layak ke pusingan akhir kejohanan sama pada 2020 dalam merebut kedudukan empat pasukan terbaik andai mahu beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Walaupun kita gagal di suku akhir, kita dapat lihat pemain sudah beri aksi 100 peratus, jadi saya harap pemain ini akan jadi pemain harapan pada masa akan datang serta mengisi tempat di dalam skuad kebangsaan.

"Kita sudah ada penanda aras untuk skuad B-23 akan datang, Mulai sekarang kita perlu kuatkan pasukan kita terutama B-17, B-19 sebelum edisi seterusnya," jelas Yusoff.

1547 dibaca
Berita Harian X