Ahad, 21 Januari 2018 | 9:42pm
PEMAIN Korea Selatan, Kim Do Heon jadi sandaran terbaru skuad Negeri Sembilan bagi harungi Liga Malaysia 2018. - Foto Hazreen Mohamad

Pengalaman Do Heon mantapkan NS

SEREMBAN: Negeri Sembilan yakin pengalaman pemain Korea Selatan, Kim Do Heon memudahkannya menggalas tugas selaku kapten pasukan itu, bagi mengharung saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, berkata pengalaman pemain berusia 35 tahun itu yang pernah beraksi dua kali di pentas Piala Dunia dan sekali di Olimpik, diyakini dapat membantu memantapkan lagi kekuatan skuad Hobin Jang Hobin, yang kembali bersaing dalam Liga Super.


PEMAIN import Negeri Sembilan, Kim Do Heon pada sesi latihan di Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Katanya, pihaknya mengharapkan pemain yang beraksi di posisi tengah itu dapat mencurahkan pengalaman serta kemahirannya kepada pemain muda, bagi membantu meningkatkan lagi prestasi mereka.

"Saya yakin Kim akan dapat memainkan peranan berkesan dalam pasukan bukan saja selaku kapten tetapi juga pembimbing kepada pemain muda, berdasarkan reputasinya selaku pemain yang memiliki skil permainan tinggi.

"Sebab itu, MB (Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan) sendiri memilih Kim sebagai kapten kerana keyakinan beliau terhadap kemampuan pemain terbabit untuk membantu menjulang Negeri Sembilan..

"Malah, setakat ini, Kim sudah menunjukkan komitmen tinggi terhadap Negeri Sembilan sepanjang sesi latihan dan aksi persahabatan pramusim, yang diadakan termasuk di Kemboja, baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Wanita Negeri Sembilan 2018, di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Mohamad Haslah berkata, setakat ini pihaknya puas hati dengan prestasi semasa pasukan itu yang mendapat bimbingan pengendali berpengalaman dari Jerman, Jorg Steinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal.

Beliau berkata, biarpun mereka belum diuji dalam perlawanan sebenar, namun hasil aksi persahabatan yang diadakan, jelas menampakkan kemajuan yang memberangsangkan apabila beberapa keputusan positif berjaya dicapai.

"Terbaru, Negeri Sembilan merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Marcerra United FC, dalam aksi persahabatan yang diadakan di Paroi, semalam dan kita ada dua lagi ujian iaitu menentang skuad Bawah 19 Tahun negara (B-19) pada 25 Januari disusuli menentang Home United FC dari Singapura pada 27 Januari.

"Hakikatnya, Negeri Sembilan sudah sedia untuk memulakan cabaran musim ini dalam Liga Super dan saya yakin menerusi persiapan rapi kali ini, pasukan mampu menjadi pencabar terkuat dan seterusnya meraih kejayaan disasarkan," katanya.

768 dibaca
Berita Harian X