Jumaat, 19 Januari 2018 | 6:09pm
PEMAIN negara, Safawi Rasid (tengah) ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan di Kunshan, sebentar tadi. - Foto Aziman Rosdi

Safawi tekad robek gawang Korea

PERTEMBUNGAN Malaysia menentang Korea Selatan pada aksi suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, China esok pasti menarik dengan dua penyerang muda terbaik Asia bakal berentap mempamerkan 'taji' masing-masing.

Pemain negara, Safawi Rasid yang meledak dua gol dan Lee Keun Ho dari Korea Selatan yang kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama pemain Qatar, Al Moez Ali dengan tiga gol dilihat antara penyerang tumpuan di kejohanan ini.

Safawi, 20, menyumbat gol ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 menentang Jordan pada aksi Kumpulan C, namun kurang mengancam ketika menang 1-0 dengan Arab Saudi.

"Ketika menentang Arab Saudi, saya lebih banyak membantu bahagian pertahanan. Saya kena membantu Matthew Davies yang sudah mengalami kecederaan (minit ke-25). Sudah pasti saya mahu ke depan untuk mencari gol tapi saya kena memikirkan situasi pasukan dalam permainan.

"Untuk menentang Korea Selatan esok, saya mahu mencari gol tapi sesiapa saja boleh menjaringkan gol asalkan pasukan mencatat kemenangan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Safawi yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta'zim antara pemain berpengalaman di pentas antarabangsa dan bisa kaki kirinya terbukti dengan menyumbat dua gol bersama Harimau Malaya dalam enam penampilan.

"Saya tahu kami bukan pasukan pilihan, tapi kemaraan ke suku akhir menambah keyakinan pasukan. Malah, kami berjanji akan tampilkan aksi yang terbaik untuk mencipta satu lagi kejutan," katanya.

Safawi dijangka membentuk gandingan serangan bersama pemain lincah, Akhyar Abdul Rashid dan penyerang, Jafri Firdaus Chew untuk menggempur kubu finalis 2016 itu.

1179 dibaca
Berita Harian X