Rabu, 17 Januari 2018 | 11:04pm
PEMAIN negara memeluk Daniel Amier Nor Hisham (tiga dari kiri) selepas meledak gol tunggal ketika menentang Arab Saudi, semalam. - Foto Aziman Rosdi

Skuad Kim Swee sedia lakukan kejutan kedua

IA cabaran cukup sukar berdepan Korea Selatan pada aksi suku akhir Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) namun jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya bersedia untuk melakukan satu lagi kejutan.

Beliau berkata, pertemuan dengan pasukan naib juara 2016 itu di Stadium Kushan, Sabtu ini pasti berbeza selepas anak buahnya berdepan tiga pasukan Asia Barat iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam saingan Kumpulan C.

"Satu lagi cabaran cukup besar untuk kita di mana kita tahu Korea Selatan mempunyai pemain-pemain cukup berkualiti, bukan satu atau dua pemain sahaja tetapi secara keseluruhan pemain mereka memiliki kredibiliti dan pengalaman cukup luas dalam peringkat antarabangsa ini.

"Untuk bertemu Korea Selatan pada peringkat suku akhir nanti, kita perlu lebih berdisiplin dan dalam masa yang sama menunjukkan apa yang kita buktikan ketika bermain dengan Jordan, Arab Saudi dan Iraq," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Malaysia yang tampil buat kali pertama melakar kejutan terbesar dengan menewaskan Arab Saudi 1-0 semalam untuk mara ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan C di belakang pendahulu Iraq.

Kemenangan ke atas naib juara 2013 itu membolehkan anak buah Kim Swee mengumpul empat mata selepas seri 0-0 dengan Jordan dan tewas 1-4 kepada Iraq.

Korea Selatan yang dibimbing Jeonhg Jeong-Yong menjadi juara Kumpulan D selepas menewaskan Australia 3-2 pada perlawanan terakhir untuk mengutip 7 mata diikuti Vietnam di tangga kedua dengan empat mata.

Kim Swee bagaimanapun menasihatkan anak buahnya supaya tidak tertekan memandangkan mereka dilihat selesa dengan status 'underdog'.

"Kami akan melakukan persediaan rapi dalam tempoh beberapa hari ini. Saya harap pemain dapat kembali pulih daripada kepenatan dan kecederaan kecil. Saya mahu pemain lebih tenang kerana Korea Selatan pasti tidak mahu reputasi mereka tercalar," katanya.

2723 dibaca
Berita Harian X