Ahad, 14 Januari 2018 | 1:31pm
L KALAIHARASAN (kanan) antara empat pemain Piala Presiden yang mendapat pengiktirafan PBNS untuk menyertai skuad senior Negeri Sembilan musim ini. - Foto JOHOR Southern Tigers

Kalaiharasan tekad ketepi perasaan gemuruh

SEREMBAN: Statusnya sebagai pemain muda membuatkan L Kalaiharasan terpaksa bekerja keras mempamerkan prestasi terbaik bagi memastikan peluangnya mendapat tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan menjadi kenyataan.

Pemain tengah itu berkata, dia perlu membuktikan prestasinya setanding dengan pemain berpengalaman jika mahu memikat pengendali pasukan Jorg Steinebrunner.

Malah katanya, dia juga perlu mengetepikan perasaan gemuruh atau sikap rendah diri, sebaliknya perlu yakin kepada keupayaan sendiri kerana sedar cabaran dalam Liga Super lebih sukar.

Namun katanya, selepas mula menjalani latihan penuh bersama skuad Hobin Jang Hobin sejak awal bulan lalu, keyakinannya kini semakin meningkat dan peluang yang diberikan pengendali dari Jerman itu dalam tiga aksi persahabatan di Kemboja, baru-baru ini, berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.

"Hasil bimbingan jurulatih, saya dapat rasakan banyak kemajuan dicapai setakat ini dan saya akan terus fokus kepada usaha memantapkan lagi persembahan supaya peluang menempatkan diri dalam kesebelasan utama tidak terlepas.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain lain terutama yang berpengalaman, namun ia tidak akan mematahkan semangat saya untuk mencapai matlamat itu," katanya di sini, hari ini.

Kalaiharasan antara empat pemain Piala Presiden yang mendapat pengiktirafan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemain kelahiran Port Dickson yang juga bekas kapten Piala Presiden itu berkata, kehadiran pemain import dari Korea Selatan yang juga kapten Kim Do Heon, banyak membantunya dalam meningkatkan lagi persembahan.

850 dibaca
Berita Harian X