Ahad, 14 Januari 2018 | 12:40pm
PEMAIN pertahanan Melaka United, Steven Tricot berazam membantu pasukannya merealisasikan impian menghuni lima tangga teratas Liga Super. - Foto Nazri Abu Bakar

Tricot azam julang Melaka

MELAKA: Pemain pertahanan Melaka United, Steven Tricot berazam untuk membantu kejayaan skuad itu dalam Liga Malaysia musim ini.

Selepas aksi pramusim di Vietnam, pemain dari Perancis itu mengakui memperoleh keyakinan tinggi untuk membantu Melaka merealisasikan impian menghuni lima tangga teratas Liga Super.

Menurutnya, ketika di Vietnam pasukan itu berjaya memperagakan corak permainan yang baik selain membentuk kerjasama positif dalam dan luar padang.

"Walaupun aksi permainan agak memuaskan kami tidak mahu mendabik dada sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan corak persembahan yang direncana jurulatih untuk kebaikan pasukan.

"Kami akan menyertai Piala Menteri Besar Terengganu esok di Kuala Terengganu dan apa yang diharapkan kami akan mencipta keserasian menjelang saingan liga bulan depan," katanya.

Tricot akan digandingkan dengan Azmi Muslim, Khair Jefri Jones, Faizal Muhamad, G Puneswaran dan Nicholas Swirad di posisi pertahanan di Terengganu.

Selain Tricot, Melaka turut mengikat penyerang dari Belarus, Yahor Zubovich, Jeon Woo Young (Korea Selatan), Thiago Gomes (Portugal) dan Shahdan Sulaiman (Singapura).

762 dibaca
Berita Harian X