Ahad, 14 Januari 2018 | 12:28pm
ULTRAS Malaya tetap setia memberi sokongan kepada skuad negara dalam mengharungi kempen Kejohanan AFC B-23 di China.

Ultras Malaya percaya kemampuan skuad B-23

MESKIPUN terpaksa mengorbankan masa dan wang ringgit namun penyokong Malaysia yang bergelar Ultras Malaya tetap setia memberi sokongan kepada skuad negara dalam mengharungi kempen Kejohanan AFC B-23 di China.

Kira-kira 50 Ultras Malaya sudah berkampung di sini sejak 9 Januari lalu untuk menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menentang Iraq dan Jordan di Stadium Changshu.

Tanpa menghiraukan cuaca sejuk dengan suhu mencecah 2 Celsius, mereka tetap berdiri, bersorak dan menyanyi demi memberikan sokongan kepada pemain muda negara.

Bagi wakil Ultras Malaya, Mohd Ridzuan Ahmad, 39, tiada istilah rugi buat mereka untuk memberikan sokongan kepada skuad negara tidak kira apa keputusan yang dicapai pada kejohanan itu.

"Bila kami tahu jadual kejohanan ini, kami terus rancang untuk datang ke sini, ini tahap yang tinggi untuk pasukan B-23 dan mereka ini pewaris pasukan senior pada masa akan datang, bila mereka sudah sampai ke tahap Asia, kami harapkan satu hari nanti bila mereka jadi senior, mereka juga akan layak ke peringkat Asia.


TIADA istilah rugi buat Ultras Malaya untuk memberikan sokongan kepada skuad negara tidak kira apa keputusan yang dicapai pada kejohanan itu.

"Kami tak pernah rasa rugi untuk menyokong pasukan Malaysia kerana ini maruah negara kita. Keghairahan kami dalam bola sepak tak pernah luntur jadi apabila sampai di tahap ini, andai kata pulang awal sekalipun ini adalah proses pembelajaran supaya tak gagal di peringkat senior nanti," katanya semalam.

Ketika ditanya harapan terhadap skuad B-23 pada kejohanan itu apabila bertemu Arab Saudi pada aksi terakhir Selasa ini selepas tewas 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 dengan Jordan, Ridzuan yang turut dikenali sebagai Lekir percaya dengan kemampuan skuad muda negara.

"Sekiranya mereka boleh menjaringkan gol bola padang, mereka boleh merobohkan gawang lawan. Hanya dua perkara mereka perlu atasi iaitu tidak menyudahkan peluang dan kedua kesilapan," katanya.

729 dibaca
Berita Harian X