Ahad, 14 Januari 2018 | 11:54am
PEMAIN Pulau Pinang, Faiz Subri berkata siapa juga yang akan dilantik sebagai kapten perlu menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan misi skuad Harimau Kumbang kembali semula ke Liga Super menjadi kenyataan. - Foto Yazit Razali

Faiz calon kapten Harimau Kumbang

GEORGETOWN: Persoalan siapakah kapten Pulau Pinang dalam menghadapi Liga Perdana bermula awal bulan depan akan terjawab tidak lama lagi.

Selepas ketiadaan Raffiudin Roddin yang berpindah ke Perak membuatkan peminat skuad Harimau Kumbang mulai tertanya-tanya.

Namun Faiz Subri, pemenang Anugerah Puskas 2016 dipilih sebagai kapten ketika menang 3-2 ke atas Perlis pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, Batu Kawan Khamis lalu.

Faiz berkata, kepercayaan yang diberikan satu penghormatan baginya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Biarpun terlalu awal untuk membuat andaian namun sebagai pemain senior jika terpilih ia menjadi tanggungjawab yang harus dipikulnya dengan baik.


FAIZ Subri ipilih sebagai kapten ketika menang 3-2 ke atas Perlis pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, Batu Kawan Khamis lalu. - Foto FA Penang

"Pemilihan saya baru-baru ini satu ujian dan percubaan untuk melihat sejauh mana kemampuan diri untuk mengetuai pasukan sama ada layak atau sebaliknya.

"Sebenarnya bukan saya seorang saja dipilih. Ada beberapa pemain lain turut disenaraikan tapi segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang," katanya.

Menurut Faiz, sebagai pemain siapa juga yang akan dilantik perlu menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan misi Pulau Pinang kembali semula ke Liga Super menjadi kenyataan.

587 dibaca
Berita Harian X